Monday, 20 June 2011

USUL POLITIK PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN GOMBAK DI PERSIDANGAN AGUNG TAHUNAN PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN GOMBAK 2011


Dibawah ini ingin saya kongsikan bersama Usul Politik yang telah dibawa oleh Saudara Azli Sali Exco Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gombak sewaktu Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gombak 2011 yang mana kalau kita amati intipati usul politik ini amat padat dan bernas. Kalaulah ianya mendapat perhatian pucuk pimpinan dan merealisasikan cadangan atau gesaan yang terdapat dalam usul ini sudah pasti ianya akan memperkasakan lagi UMNO..... Yang saya muliakan Tuan Timbalan Pengerusi Tetap,
Yang dihormati dan dikagumi Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka - Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam
Yang dihormati Ketua UMNO Bahagian Gombak. Tuan Haji Rahim Kamaruddin
Yang dihormati Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Hj Said Anuar bin Said Ahmad
Yang dihormati Naib Ketua UMNO Bahagian Gombak, Saudara Aziz Jenthan
Yang saya kasihi lagi disanjungi kekanda kita, Tuan Haji Megat Zulkarnain bin Dato’ Omardin,
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gombak, merangkap Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Yang di kasihi Saudara Azman Saleh, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gombak.
Ahli-ahli jawatankuasa Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri, Ketua-ketua Cawangan, Ketua-ketua  Pemuda, Wanita dan Puteri Cawangan, mantan-mantan Pemimpin-pemimpin hebat Gombak, tuan-tuan, sahabat-sahabat seperjuangan sekalian....
Assalamulaikum warrah matullah hi wabarakatuhhh
Menginsafi – bahawa hanya kuasa politik yang dapat menjaminkan kesinambungan pembelaan yang berterusan kepada bangsa Melayu dibumi Malaysia agar bangsa Melayu akan terus kekal dan bermaruah di tanahairnya dalam mendokong inspirasi Gagasan 1Malaysia yang mana rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Inspirasi yang berlandaskan perlembagaan Negara yang mana hak-hak istimewa Melayu terus diperjuangkan dan dipertahankan dalam pengubalan setiap dasar-dasar kerajaan.
Menyedari – bahawa scenario politik sekarang ini yang mana suara Melayu bukan hanya  lagi diwakili oleh parti keramat UMNO dan UMNO bukan satu-satunya pilihan orang Melayu bagi memperjuangkan hak dan nasib mereka walaupun UMNO merupakan parti utama dalam perikatan yang memegang tampuk pemerintahan Negara dan UMNO merupakan satu-satunya parti yang hanya boleh dianggotai oleh mereka yang berbangsa Melayu.
Menyakini – bahawa hanya melalui transformasi dan perubahan dalaman dari segi sikap, tindak-tanduk, pemikiran dan gerak-kerja sahajalah dapat menyakinkan kembali seluruh umat Melayu bahawa hanya UMNO lah parti di Malaysia ini yang benar-benar memperjuangkan hak dan nasib bangsa Melayu. Setiap fikrah itu akan hanya berjaya apabila ia diperkuatkan dengan iman, dilengkapkan dengan ikhlas yang mendalam, ditambah dengan semangat yang berkobar-kobar dan persediaan yang rapi untuk beramal dan berkorban dalam perlaksanaannya. Hanya pada pemuda di kalangan setiap umat sama ada di zaman dahulu atau sekarang merupakan tiang kebangkitan umatnya.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al Kahfi Ayat 13
"Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada tuhan mereka dan Kami (Allah) tambahkan kepada mereka petunjuk".
Saudara-saudara perwakilan semua,
 Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton pernah berkata

AS kagum dengan pencapaian Malaysia dalam tiga perkara iaitu demokrasi hidup subur, kerajaan efektif dan pembangunan ekonomi yang pesat. Malaysia sebagai model negara membangun yang patut dicontohi oleh negara-negara membangun lain...

Malaysia dikagumi oleh negara-negara Islam..Hillary juga menyatakan bahawa Palestin memohon agar Malaysia dapat membantu membangun dan memulihkan ekonomi mereka...

Jika kuasa besar AS dan negara Islam memandang tinggi Malaysia, apakah 28 juta rakyat Malaysia berfikir bahawa UMNO yang telah memerintah Malaysia dan berkongsi kuasa dengan parti-parti komponen BN telah praktis, dengan izin Tuan Timbalan Pengerusi Tetap "Good Governance" dan bertanggung-jawab dalam pencapaian ini?
Sayang sekali tidak, Ini dapat kita lihat telah diterjemahkan dalam bentuk sokongan anak-anak muda pada PRU yang lepas yang hasil dari tidak mendapat sokongan majority anak-anak muda, kita tewas di 5 negeri yang dulunya merupakan kubu kuat UMNO dan BN. Dan yang paling sedih kita tewas 4-0 di Gombak dan kita kehilangan Negeri Selangor.
Ideologi UMNO ialah Alif, Ba, Ta - Agama, Bangsa dan Tanahair. Apakah benar UMNO parti kampung dek kerana ideologi perjuangan UMNO mudah di fahami dan diterima oleh masyarakat kampung berbanding dengan masyarakat yang tinggal di bandar?
Seperti yang kita maklum, cabaran UMNO amat hebat dalam menarik sokongan masyarakat yang tinggal di bandar dan di taman-taman berbanding dengan masyarakat yang tinggal di kampung.
Ada dikalangan orang Melayu yang tinggal di bandar ini lupa diri dan menafikan peranan yang telah dimainkan oleh UMNO dan kerajaan dalam membantu orang Melayu baik di bandar atau di kampung-kampung dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka atau menambahbaik infrastruktur di kawasan mereka yang mana dulu mereka hidup susah sekarang dah senang dan berumah besar, dulu mereka tinggal dikampung oleh kerana pembangunan pesat Malaysia ini dibawah kerajaan UMNO dan Barisan Nasional, kampung mereka itu sudah menjadi pekan/bandar atau pinggir bandar. Contoh yang paling mudah adalah Bahagian Gombak ini sendiri. 10 tahun dahulu, kawasan kita ini dikenal sebagai pinggir bandar, sekarang dengan segala pembangunan pesat yang berlaku, Gombak tidak boleh dipisahkan lagi dengan bandar Kuala Lumpur.  Begitu juga Ampang dulunya ianya sebagai pinggir bandar sekarang ni telah termasuk dalam kawasan penting dikenali sebagai ‘Segitiga Emas Kuala Lumpur’
Kita harus berubah cara pemikiran, gerak kerja dan perancangan segala aktiviti juga perlu mengikut pendekatan yang berbeza dari dahulu. Pendekatan di kampung-kampung tidak boleh disamakan dengan pendekatan di bandar. Kalau pemuda di kampung gemar aktiviti sukan seperti bola atau sepak takraw tetapi pemuda di Bandar lebih gemar aktiviti sukan seperti sukan lasak atau sukan maya dengan izin Tuan Timbalan Pengerusi Tetap “Paint ball” atau “Online Mutliplayer computer game”. Pendekatan untuk mendekati golongan veteran tidak mungkin sama dengan pendekatan untuk dekati golongan muda ini.
Siapa yang lebih memahami golongan muda kalau bukan orang muda itu sendiri.
Kita tidak mungkin dapat untuk menerangkan keseronokan bermain “online multiplayer computer game” itu tadi kepada ayah kita walau sebagaimana terperinci sekalipun penjelasan yang kita berikan. Orang veteran tidak mungkin dapat memahami jiwa naluri anak muda dan keseronokan anak muda yang sanggup duduk terpaku didepan kaca televisyen 2 hingga 3 jam bermain PS3.
Kita memerlukan Pemuda untuk melaksanakan gerakan menarik sokongan anak-anak muda ini. Kesemua fakta diatas merupakan cabaran hebat yang harus di galas oleh pemuda-pemuda khususnya Pemuda Bahagian yang berada dalam transisi daripada Bahagian pinggir bandar kepada Bahagian Bandar seperti kita, Pemuda UMNO Bahagian Gombak . Saya percaya dalam tempoh 10 -15 tahun akan datang Bahagian Gombak bukan lagi dikenal sebagai Bahagian pinggir bandar tetapi akan menjadi salah satu Bahagian kota raya metropolitan yang mana cabaran perjuangan Pemuda UMNO akan bertambah hebat.
Tanggungjawab Pemuda bertambah banyak, kerja Pemuda bertambah besar, hak-hak umat ke atas Pemuda bertambah ganda, amanah yang tertanggung di atas tengkuk Pemuda pula bertambah berat. Namun tanpa pengiktirafan dan pemberdayaan (empowerment) yang sewajarnya ianya pasti agak mustahil untuk dilaksanakan. Namun Pemuda wajiblah berfikir dan merenung jauh, banyak bekerja, menentukan sikap, maju untuk menyelamat dan memberikan hak-hak umat yang penuh terhadap para Pemuda seperti kita semua.
Saya percaya ramai sahabat-sabahat semua bersetuju didalam keikhlasan kita berjuang kita juga perlukan satu daya pendorong yang mana ianya akan dapat membantu kita mengekalkan istiqamah perjuangan kita. Kita tidak perlu malu atau berpura-pura dan harus berpijak di bumi yang nyata dan mengaku yang mana segala gerak kerja dan activiti yang hendak dilaksanakan baik besar atau kecil-kecilan memerlukan sumber kewangan. Tanpa sumber kewangan pasti segala perancangan tidak akan berhasil kerana tiada apa yang percuma di zaman sekarang ini.
Setiap ketua-ketua pemuda cawangan haruslah mempunyai sumber ekonomi yang terjamin dan pasti. Ada diantara kita yang kerja makan gaji namun mungkin tidak cukup untuk disalurkan kepada perkara-perkara lain khususnya dalam soal-soal Perjuangan Pemuda kita ini. Dan ada diantara kita yang merupakan berniaga sendiri atau kontraktor namun apabila kehilangan kuasa di Selangor ini ramai diantara kita yang bukan bekerja makan gaji itu tadi merasakan amat tertekan dan hampir putus asa dalam perjuangan ini. Namun masih bertahan dek semangat kental Pemuda didalam jiwa.
Mungkin salah satu punca rakan-rakan kita yang berniaga sendiri atau sebagai kontraktor itu tadi mengalami kesulitan sumber kerana ada situasi dimana pemohonan dan urusan dengan agensi agensi rakan-rakan tadi dengan kerajaan UMNO itu sendiri tidak diluluskan atau disekat. Ini berpunca kerana ada didalam jabatan-jabatan kerajaan sekarang ini ramai pegawai dan kakitangan yang menyokong pembangkang yang mana dasar dan hasrat kerajaan UMNO/BN tidak diterjemaahkan kepada akar umbi khususnya ahli UMNO itu sendiri dengan jelas. Kita sedih apabila sebagai ahli UMNO kita mendokong serta berusaha kuat agar cita-cita kerajaan UMNO/BN tercapai namun apabila melalui fasa perlaksanaannya melalui agensi agensi kerajaan dan pegawai-pegawai itu tadi, kita ahli UMNO ini di anak-tirikan dan dipinggirkan.
Pemuda tidak mahu lagi projek projek UMNO yang dilakukan dan diluluskan oleh Kerajaan UMNO/BN hanya memberi  sedikit keuntungan pada ahli UMNO selebihnya menguntungkan ahli parti lain atau bangsa lain. 
Contohnya apa guna kita menaik taraf  Sungai Gombak dan kita buat seperti Waterfront di Ampang contohnya. Kemudian di jual atau sewa kepada ahli parti lain atau bangsa lain tanpa memberi sedikit keistimewaan pun kepada ahli UMNO setempat khususnya ahli cawangan tersebut? Ahli UMNO hanya dapat kemudahan, sungai cantik, nama (waa Gombak punya sungai banyak cantik), dikenali , ramai pelancong datang dan sebagainya. Tapi keuntungan sebenar dapat kepada bangsa lain yang menyewa, membeli dan berniaga justeru menaik taraf ekonomi hidup mereka. Meraih segala keuntungan dari persepektif ekonomi yang mana UMNO sendiri berikan kepada ahli parti lain dan bangsa lain? Dah adakalanya  kerja-kerja pembinaan pun dapat kat dia juga, pembekalan pun kat dia sebab dari bahan bahan asas pembinaan hingga kontraktor dapat kat dia. Dah siap pun banyak dapat kat dia juga, apa ahli UMNO dan melayu dapat ? Sepatutnya projek UMNO projek kerajaan UMNO/BN di rancang dan dijalankan utk memberi “impak maksima kepada bangsa melayu khususnya Ahli UMNO itu sendiri”.
Perubahan perlu kita janakan untuk mengatasi masalah ini. Hak keistimewaan perlu diberikan kepada ahli-ahli UMNO. Misalnya ada 25 gerai siap dibina, penyewaan atau penjualan diberikan keutamaan kepada ahli umno cawangan terlibat dan seterusnya dibuka kepada ahli cawangan umno berhampiran setelah mendapat sokongan Ketua Cawangan atau Ketua Pemuda Cawangan. Ini tidak projek di cawangan kita namun yang mendapat keistimewaan mereka yang bukan dari cawangan kita malah ahli parti lain pulak tu dan yang paling menyedihkan bangsa lain pun ada. Kita yang berjuang berpuluh tahun didalam UMNO terus dipinggirkan dan hanya melihat sahaja.
Namun ramai diantara kita, diantara ayah-ayah dan ibu-ibu, abang kakak kita masih utuh dan tetap berjuang untuk UMNO. Namun sudah sampai masanya Pemuda bangkit dan mendesak perubahan perlu dilakukan untuk generasi lama, generasi sekarang dan generasi akan datang yang mana kepincangan perlaksanaan dasar UMNO/BN yang baik itu harus di pantau dan diperhaluskan agar kebaikkannya itu terus sampai ke akar umbi. Dari perancangan dasar, pengubalan dasar, perlaksanaan dasar hatta penyelanggaraan dasar tidak lain dan tidak bukan memberi kepentingan atau keutamaan yang maksimum kepada ahli-ahli UMNO itu sendiri.
Selaras dengan itu Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gombak membawa usul agar Pemuda diberikan pengiktirafan dan pemberdayaan (empowerment) yang selayaknya dalam mengalas tanggung-jawab serta amanah yang lebih besar dan hak keistimewaan ahli UMNO harus diwartakan didalam Perlembagaan UMNO seperti mana hak keistimewaan Melayu dalam Perlembagaan Negara.
Saudara – saudara perwakilan,
Maka mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gombak yang bersidang hari ini  mengambil iltizam dengan sebulat suara  untuk:

1.       Mendesak Majlis Tertinggi Parti agar mengubal pindaan Perlembagaan UMNO dan mewartakan  kuota Ahli JawatanKuasa Lantikan haruslah merupakan 2 lelaki yang berumur dibawah 40 tahun dan seorang Wanita yang berumur dibawah 35 tahun dalam usaha kita hendak menarik sokongan golongan muda yang mana dengan wujudnya kuota ini ia akan membantu kita untuk memahami kehendak dan cita rasa dan minda pengundi golongan muda-mudi ini. Kita harus terima kenyataan bahawa yang menyebabkan kita kalah di beberapa buah negeri sewaktu PRU ke-12 adalah kerana golongan pengundi-pengundi muda tidak bersama perjuangan kita. Oleh itu sudah sampai masanya Pemuda di beri tempat diperingkat bahagian dan dengan cara ini pemikiran orang muda di ambil kira untuk membantu di peringkat bahagian dalam merangka program-program dan melaksanakan usaha usaha untuk menarik golongan muda tadi. Ini juga bagi memastikan segala program dan aktiviti yang dijalankan akan ada suara-suara mewakili muda-mudi dalam meluahkan citarasa dan khendak muda-mudi.

2.       Memberi tempat kepada Pemuda yang layak dan sesuai di beberapa agensi kerajaan seperti menganggotai kumpulan pemikir/perancangan dan pengubalan dasar atau mewujudkan jawatan sebagai pegawai belia tempatan untuk agensi-agensi kerajaan yang terdiri dari mereka yang tidak melebih umur 35 tahun untuk memastikan suara untuk membela nasib-nasib anak-anak muda didalam perlaksanaan atau perancangan sesuatu dasar atau projek-projek baik dari segi ekonomi, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya di dearah tersebut oleh kerajaan akan kedengaran dan di ambil pertimbangan yang sewajarnya. Juga memberi pengiktirafan surat sokongan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Bahagian kepada ahli pemudanya dalam urusan yang berhubung-kait dengan agensi-agensi kerajaan.

3.       Mendesak Majlis Tertinggi Parti agar mengubal pindaan Perlembagaan UMNO dan mewartakan  hak-hak keistimewaan ahli UMNO agar ahli-ahli UMNO mendapat pembelaan dan pengiktirafan yang sewajarnya.

Akhir kata sebelum saya mengakhir perbahasan usul politik Pemuda UMNO Bahagian Gombak ini
Izinkan saya membaca ungkapan Melayu Lama untuk mengambarkan semangat serta jiwa sahabat-sahabat seperjuangan sekalian yang berada didalam dewan keramat ini dan Pemuda UMNO Gombak ....
Pemuda UMNO Gombak itu....

Kesusahan rakyat ia amati
Kesulitan orang ia peduli
Sumpah dijunjung amanah diikuti
Memikul beban sepenuh hati
Rakyat rukun padi menjadi
Umat sentosa bertuah negeri

Menjalankan tugas tahan beragas
Menjalankan amanah tahan dilapah
Menjalankan yang hak tahan diinjak
Menunaikan janji tahan dikeji

Hidupnya mengabdi kepada rakyat
Taat setia membela umat
Imannya teguh elok tabiat
Janji dipegang sumpah diingat
Menjalankan tugas hatinya bulat
Memikul beban bahunya kuat

Hidup Melayu!

Hidup Pemuda!

Hidup Gombak!

Dirgahayu Negaraku!

Daulat Tuanku!

Wa billa hi taufik wal hidayah, wasalam mualaikum warah matullahi wa Baraka tuhh.