Tuesday, 25 October 2011

AKU DAN UMNO PART 4 ( TRANSFORMASI KERAJAAN VS TRANSFORMASI UMNO...)

Pada tanggal 23/10/2011 aku bernasib baik kerana telah terpilih untuk sama-sama menonton perlawanan bolasepak Liga Perdana Inggeris bersama YAB Perdana Menteri kita Dato’ Seri Najib Tun Razak di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana. Dari seramai 2500 permohonan hanya 300 orang sahaja yang terpilih. Aku rasa ini pertama kali Perdana Menteri Malaysia menjemput anak-anak muda untuk menonton perlawanan bolasepak bersama beliau di kediaman rasmi beliau. Bangga, gembira, seronok, teruja semua perasaan itu aku rasai pada malam itu. Kami menonton, berteriak, bergembira, makan bersama pemimpin no.1 negara. Tak lupa juga kami kecewa bersama kerana kekalahan 6-1 Manchester United pasukan yang aku dan juga YAB PM sokong kepada pasukan lawan Manchester City. Namun pengalaman yang amat berharga ini tidak mungkin aku lupai dan akan menjadi kenangan indah dalam lipatan sejarah peribadi aku walaupun pasukan aku kalah besar malam itu. Tetapi bukan itu yang aku nak tulis tetapi iainya untuk membayangkan kepada kita semua sampai begitu sekali usaha dan gerak kerja yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO ini terutama dalam memahami dan mendekati anak-anak muda.

Kalau kita lihat beliau amat menghargai dan perihatin terhadap golongan anak muda. Bermula dengan Perhimpunan Belia di Putrajaya,  Program-program Mari berjumpa PM untuk kenalan internet dan laman social, Rumah Pertama ku, Belanjawan 2012, Konsert Suara kami, terakhir Perlawanan Manchester United vs Manchester City ini dan bermacam-macam lagi yang mana ianya focus untuk mendekati dan memahami anak-anak muda di negara ini. YAB PM dan kerajaan benar-benar ambil berat tentang masa depan anak muda agar terbela dan terpelihara. Malah isteri beliau Datin Paduka Seri Rosmah Mansor juga turut memainkan peranan melalui program-program Permata beliau dalam menjamin dan menjaga masa depan aset-aset negara ini iaitu anak-anak muda.
Tetapi ini semua adalah usaha yang dijalankan oleh beliau dan kerajaan. Tidak dinafikan bermacam-macam transformasi kerajaan telah berjaya dilaksanakan dan untuk itu memang kita tidak dapat sangkal dan nafikan walaupun pelbagai tomahan dan fitnah dihamburkan oleh pihak pembangkang atas usaha-usaha yang telah dijalankan. Aku ingin berkongsi sedikit pandangan dan luahan berhubung  dengan apa yang mungkin perlu dan mungkin boleh dipertimbangkan berhubung dengan anak-anak muda juga tetapi anak-anak muda UMNO atau lebih dikenali dengan Pemuda UMNO.
Sedang pelbagai Transformasi dalam gerak kerja dan dasar kerajaan yang banyak memberi keutamaan dan keistimewaan pada anak-anak muda negara hingga Tranformasi UMNO lebih lagi pada anak-anak muda UMNO atau Pemuda UMNO agak tertinggal sedikit atau kurang sekali. Yang terakhir dan yang aku ingat ialah Ketua Pemuda UMNO Cawangan secara automatik layak ke Persidangan Tahunan UMNO Bahagian dan kalau tidak silap Ketua Pemuda UMNO Cawangan juga layak untuk menandatangi dan menerima pendaftaran ahli Pemuda UMNO yang baru tanpa perlu ke Ketua Cawangan.  Ini amat baik dan tepat dalam memberi pengiktirafan kepada pentingnya peranan Pemuda UMNO Cawangan dalam menyumbang kepada UMNO.

Namun begitu dalam soal-soal utama seperti peruntukkan misalnya ianya masih belum melalui proses transformasi dan masih dengan cara lama. Peruntukkan untuk Pemuda kalau ada pun harus melalui Bahagian, melalui Ketua Bahagian. Mungkin ramai berpendapat ianya tidak perlu di ubah dan ianya tiada membawa apa-apa masalah namun kalau dilihat dan dikaji semula, ianya merupakan satu faktor utama yang menyebabkan budaya “Yes Boss” didalam UMNO dan mengekang Pemuda dalam memainkan peranan Pemuda sebagai kumpulan pendesak kepada pimpinan. Pemuda haruslah menjadi seperti parti pembangkang didalam UMNO itu sendiri yang mana iannya merupakan pendesak dan mewujudkan suasana “check and balance” dan ianya harus dimulakan di peringkat Bahagian. Maksud jadi pembangkang didalam UMNO itu sendiri ialah menjadi Sayap UMNO yang bebas untuk menegur dan menyuarakan pendapat dan teguran bagi memperbetulkan keadaan atau tindakan yang hendak dilaksanakan atau dirancang oleh pentadbiran Bahagian. Menjadi sayap yang akan mengatakan perkara yang benar tetap benar dan perkara yang salah tetap salah dalam segala perancangan dan perlaksanaan didalam gerak-kerja dan hala tuju UMNO diperingkat Bahagian. Menyatakan perjuangan dan menuntut pembelaan terhadap anak-anak muda, generasi muda tanpa terikat dengan pentadbiran Bahagian. Ibarat di Parlimen kita perlukan pembangkang didalamnya untuk memastikan segala yang dirancang dan hendak dilaksanakan oleh Kerajaan tidak menjadi sia-sia atau merupakan pembaziran semata-mata dan hendak memastikan ianya memberi pulangan dan hasil yang maksima. Maka seperti itu juga perlu wujud suasana yang sama didalam UMNO itu sendiri khususnya di Bahagian.  "Check and balance" ini perlu agar kita tidak syok sendiri dan merasakan segala tindakan serta perancangan kita itu yang terbaik dan betul.
Kita tidak boleh nafikan terdapat setengah-setengah pimpinan Bahagian yang lebih gemar untuk menjaga Ketua-ketua cawangan dari Ketua-ketua pemuda cawangan. Banyak perhatian diberikan kepada Ketua-ketua Cawangan dari Ketua pemuda cawangan hinggakan ada ketua pemuda cawangan selama sepenggal menjadi ketua pemuda cawangan tidak pernah berurusan dengan Ketua Bahagian. Ialah nama pun ketua pemuda cawangan pergi lah berurusan dengan Ketua Pemuda Bahagian, tak perlulah ganggu Ketua Bahagian. Mungkin ini tanggapan kita namun apabila bertemu Ketua Pemuda Bahagian, beliau terpaksa merujuk perkara tersebut kepada Ketua Bahagian memandangkan segala peruntukan berada pada Ketua Bahagian maka lebih baik pergi terus berjumpa Ketua Bahagian tak perlu lah melalui Ketua Pemuda Bahagian. Dia bukan boleh buat apa apa pun berhubung dengan soal peruntukkan untuk melaksanakan aktiviti Pemuda Cawangan ini. Ini akan menyebabkan peranan dan fungsi Ketua Pemuda Bahagian pula dibelakangkan atau dipinggirkan dan dilihat tidak memainkan apa apa peranan pula. Kalau Ketua Pemuda Bahagian yang mempunyai bisnes jutaan ringgit maka mungkin tidak jadi masalah, dia boleh sumbang atau sponsor program kita itu melalui duit pribadinya. Kalau Ketua Pemuda Bahagian yang sebaliknya, tidak punya bisnes jutaan ringgit, Ketua Pemuda Bahagian yang marhain, bagaimana? Terpaksalah mengadap Ketua Bahagian jugak untuk memohon peruntukkan tersebut. Dan kebanyakan scenario di Bahagian-bahagian akan berakhir dengan Ketua Pemuda Bahagian kena mengadap Ketua Bahagian juga untuk memohon peruntukkan tersebut. Maka wujudlah Ketua Bahagian yang ibarat “Warlords.”

Ini dirumuskan dengan mudah, kalau Ketua Pemuda Bahagian yang lantang, keras atau selalu menegur dan membangkang tindakan atau perancangan Ketua Bahagian yang mendatangkan kemudaratan kepada parti maka sudah pasti hubungan Ketua Bahagian dengan Ketua Pemuda Bahagian itu tadi menjadi renggang dan akhirnya mungkin akan berkesudahan Ketua Pemuda Bahagian akan susah untuk mendapat peruntukan dari Ketua Bahagian sama ada Ketua Bahagian tadi tidak lagi mahu memberi atau Ketua Pemuda Bahagian itu sendiri tidak mahu meminta dan “menyembah” Ketua Bahagian. Mana satu penyebabnya tidak penting namun yang penting ianya akan berakhir dengan Ketua Pemuda Cawangan tidak dapat menjayakan aktiviti di cawangan dan akhirnya Pemuda Cawangan menjadi lesu dan lemah dan berkubur akhirnya.
Ini belum diambil faktor team A dan Team B atau ‘Politiking’. Katalah Ketua Pemuda Bahagian sewaktu pemilihan yang lepas tidak membawa Ketua Bahagian yang menyandang  kerusi Ketua Bahagian yang sekarang ini sewaktu pemilihan yang lepas. Atau pun ura-ura Ketua Pemuda Bahagian tidak bersama Ketua Bahagian untuk pemilihan yang akan datang, sama ada khabar angin atau memang betul namun ianya akan pasti menyebabkan ‘Gap’ diantara Ketua Bahagian dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian itu. Tambah lagi bila dekat pemilihan maknanya pasti dekat pilihanraya dahulu. Maka lebih banyaklah peruntukkan akan diberikan kepada UMNO Bahagian untuk melaksanakan kerja-kerja parti dan ketika ini lah Budaya ‘Yes Boss’ bermaharajelela kerana nak bodek dan ambik hati Ketua Bahagian kerana segala peruntukkan ada pada beliau. Samada tindakan beliau itu benar dan telus tidak boleh dipersoalkan. Kita harus kata ‘Yes Boss’ kerana sekiranya tidak pemohonan kita akan ditolak baik melalui Ketua Pemuda Bahagian atau secara terus kepada Ketua Bahagian. Walaupun program yang kita hendak laksanakan ini baik untuk parti baik untuk rakyat di cawangan kita. Jadi untuk selamat jangan bangkang, jangan tegur, jangan kritik atau beri pandangan yang tidak sehala dengan tindakan pimpinan Bahagian kerana akhirnya kita akan disisihkan dan di kambing hitamkan sebagai penentang arus dan jangan harap lah kita nak dapat sumbangan atau peruntukkan. Nak buat program keluar duit sendiri. Peruntukkan UMNO hanya untuk mereka–mereka yang bersama kepimpinan Bahagian sahaja atau kata mudah “Yes Man”. Inilah budaya yang hendak kita hapuskan kerana apa yang kita mahu keikhlasan.

Ini perlu diubah dan perlu melalui satu transformasi. Kalau kita ikhlas dan memandang serius fungsi Pemuda UMNO dam sayap-sayap yang lain maka sudah sampai masanya peruntukkan dari Pusat atau Perhubungan Negeri perlu diberikan terus untuk dikendalikan oleh Institusi-intitusi didalam UMMO itu sendiri. Kalau dari segi struktur, gerak-kerja dan orginisasi kita telah pun membahagikan fungsi dan peranan serta tanggung-jawab setiap institusi didalam UMNO itu kepada Wanita, Pemuda dan Puteri, kenapa didalam soal peruntukkan atau kos yang perlu dihadapi oleh institusi tersebut tidak diberikan terus dan masih perlu melalui Ketua UMNO Bahagian? Perlu dikaji seperti peratusan yang perlu diberikan kepada setiap institusi itu tadi mengikut tanggung-jawab dan peranan yg diberi. Misal formula pecahan 50% 20% 20% 10%. Setiap kali ada peruntukan dari UMNO Pusat atau Perhubungan Negeri kepada mana-mana Bahagian ianya akan dipecahkan dan di hantar terus kepada akaun-akaun Bahagian dan sayap-sayapnya. Katakan ada peruntukkan RM 100,000 dari Pusat maka ianya akan terus ditansferkan atau dimasukkan ke akuan Bahagian dan akaun sayap2nya secara terus iaitu Bahagian akan mendapat RM50,000, Wanita Bahagian akan mendapat RM20,000 Pemuda akan mendapat RM20,000 dan Puteri mendapat RM10,000. Tak perlu sesiapa mengadap sesiapa tau-tau duit telah dimasukkan ke akaun sayap masing-maing. Rasanya cadangan ini pernah dicadangkan dan dibawa ke peringkat perhubungan negeri namun tidak ketahui apa yang terjadi samada ianya setelah dikaji dan ianya terbukti mendatangkan kemudaratan kepada parti lebih dari kebaikkan sekiranya ianya dilaksanakan atau sebaliknya. Jawatankuasa Perhubungan negeri juga terdiri dari mereka-mereka yang ramai merupakan Ketua Bahagian sendiri dan sudah pasti mereka memahami.
Kalau kita berjiwa besar, kita ikhlas dan kita tolak tepi kepentingan peribadi dan kita beri kepercayaan sayap-sayap untuk mentadbir kewangan mereka sendiri maka sudah pasti kita akan mendapat pulangan dan hasil yang kita hendaki. Bukan semua tindakan kita akan disanggal oleh Ketua Pemuda Bahagian atau Ketua Wanita Bahagian hatta Ketua Puteri Bahagian. Kalau kita betul, kita ikhlas kita berhemah sudah pasti orang suka dan sayang kepada kita dan sudah pasti semua sayap bersama kita. Kalau kita berjuang dan tidak mempunyai agenda peribadi sudah pasti ini jugak yang kita ingini. Namun kalau sebaliknya kita  kalau kita berjuang untuk perut sendiri dan kepentingan peribadi maka di setiap Bahagian-bahagian kita akan mempunyai sayap-sayap yang tidak lagi hanya tunduk dan mengangguk sahaja tetapi kita akan mempunyai pendesak dan pemantau yang berani untuk menyatakan bantahan untuk kebaikkan parti. Ini baru lah tranformasi......

Gombak!!! Gempur!!!