Monday, 2 January 2012

ANWAR IMAM MAHDI, PEMUDA UMNO GOMBAK ASHABUL KAHFI....


Pada 31/12/2011 yang lepas sedang ramai anak-anak muda di sekitar bandaraya Kuala Lumpur terutamanya mat-mat motor atau mat rempit merancang kemana nak lepak atau di mana hendak berpesta sempena menyambut perayaan tahun baru, mat-mat motor Pemuda UMNO Gombak atau lebih dikenali sebagai Skuad Bermotor Pemuda UMNO Gombak telah merangka satu program “Konvoi” Bermotor dan Sumbangan peralatan persekolahan kepada anak-anak yatim dan saudara baru(orang asli) di Kg. Batu Malim, Batu Talam-Pahang. Program ini adalah satu kerjasama Pemuda UMNO Gombak bersama Persatuan Kebajikan Baitul Makmur & Kosibu.
Seramai lebih kurang 50 biji motor yang turut serta berkonvoi ke Batu Malim ini yang mana sepuluh biji motor merupakan motor berkuasa besar yang bertindak sebagai “Marshall”. Anak-anak muda ini telah menunjukkan satu perubahan minda dan sikap yang amat membanggakan kerana ramai rakan-rakan mereka lebih gemar hanya bersuka-ria pada malam tahun baru di bandaraya Kuala Lumpur yang mana pada malam itu sudah pasti bermacam-macam bentuk hiburan dianjurkan disekitar Lembah Kelang ini. Sudah pasti pusat-pusat hiburan seperti Disco, Pub dan Club menganjurkan berjenis-jenis sambutan “Count Down” yang mana menjadi tumpuan anak-anak muda berkunjung untuk menyambut sambutan tahun baru ini. Namun seramai hampir 70 orang anak-anak muda Pemuda UMNO Gombak ini telah mengambil sikap sebaliknya yang mana mereka keluar dari bandaraya dan menuju ke perkampungan yang agak terpencil dari segala hiburan dan maksiat yang mana pasti terjadi ketika sambutan malam tahun baru tersebut. Teringat MNK seperti peristiwa “Ashabul Khafi” dimana MNK sempat menziarahi makamnya sewaktu MNK menuntut di Jordan dulu. Dimana seramai 7 anak-anak muda telah lari dari kemaksiatan di ibukota demi menjaga iman mereka dan duduk bersembunyi di dalam gua dan Allah telah menidurkan mereka selama 309 tahun. Tapi pada program ini seramai 70 orang anak muda dari Pemuda UMNO Bahagian Gombak lari dari kemaksiatan pada malam tahun baru dan bersembunyi di ceruk kampung di sebuah perkampungan yang diberi nama Kampung Ulu Sungai. Kalau Ashabul Khafi maknanya Ahli Gua maka mungkin Skuad Bermotor Pemuda Gombak ini boleh digelar sebagai Ashabul Qariahti. Ashabul Qariahti maknanya Ahli kampung.
Seawal jam 8.30 pagi pada 31/12/2011 mereka mula berkumpul di hadapan Pejabat Penyelaras BN Parlimen Gombak untuk upacara perlepasan yang dilakukan sendiri oleh Datuk Hj. Megat Zulkarnain b. Tan Sri Omardin Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Gombak merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gombak. Beliau banyak membantu menjayakan program ini dan MNK bagi pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih Datuk.

Rombongan kami tiba jam 12.30pm di tapak program yang mana ketika kami tiba, sedang dilangsungkan program sumbangan peralatan persekolahan dan majlis perasmian oleh ADUN Batu Talam iaitu Dato’ Abd. Aziz Mat Kiram dan kami telah disambut oleh beliau sendiri ketika kam tiba di tapak program tersebut. Kami kemudian di jamu dengan makan tengahari dan buah-buahan tempatan seperti rambutan dan durian yang mana MNK dimaklumkan Batu Talam ini memang terkenal dengan durian-durian yang sedap dan enak. Ini terbukti benar apabila MNK merasa sendiri durian-durian tempatan ini. Memang sedap dan enak.
Selepas kumpulan kami berehat  di tapak program dek kerana kepenatan dan kekenyangan, kami bergerak menuju ke Kg. Ulu Sungai yang mana disitu nanti kami akan bermalam. Tempat perkhemahan kami adalah di Kolam Ikan Pak Wahab. Pak Wahab yang ramah dan baik orangnya merupakan Tok Ketua Kg. Ulu Sungai yang mana telah sudi membenarkan kami bermalam di pondok-pondok yang ada serta mendirikan khemah di sekeliling kolam ikan beliau. Di sini kami sekali lagi dijamu dengan buah durian dan rambutan. Puas betul makan durian bagi mereka-mereka yang hantu durian termasuk MNK sendiri. Selepas beristirehat dan ada pula yang terus melakukan aktiviti memancing sebab tidak tahan melihat kebetulan berpuluh ikan seberat hampir 3-5 kilo seekor dilepaskan ke kolam pada petang itu. Sekitar jam 5 petang, kumpulan kami dipecahkan kepada 3 kumpulan.
Program ini bukan hanya berseronok-seronok berkonvoi sahaja namun di isi dengan dan diselit dengan kerja kebajikan seperti sumbangan yang mana telah disediakan dan diselenggarakan oleh Persatuan Kebajikan Baitul Makmur dan KOSIBU. Namun Skuad Pemuda UMNO Gombak turut tidak melepaskan peluang untuk turut menyumbang tenaga dalam kerja-kerja amal di Kg. Batu Malim. Satu kumpulan tinggal di kolam untuk menguruskan penginapan dengan menaikkan khemah-khemah, mencari kayu-kayu untuk program BBQ malam nanti serta menyediakan segala keperluan untuk program malam nanti. Manakala kumpulan kedua bergerak ke tapak program sumbangan tengahari tadi untuk kerja-kerja membuka khemah dan pembersihan kawasan. Kumpulan ke-3 pula pergi ke Masjid Kg. Batu Malim untuk kerja-kerja membersihkan masjid tersebut dan kawasan sekeliling.

Pada sebelah malamnya diadakan pula aktiviti santai dan ramah mesra dikalangan Pemuda-Pemuda yang turut serta dalam program konvoi ini. Ianya bertujuan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturrahim serta kemesraan dikalangan Pemuda-pemuda UMNO Bahagian Gombak yang mana kalau tak silap MNK peserta kali ini terdiri dari Pemuda-pemuda UMNO Gombak yang datang dari Kg. Sungai Chinchin, Kg. Changkat, Kg. Simpang Tiga, Kg. Nakhoda dan Flat Taman Amaniah. Maka pada malam tersebut selepas penat bekerja pada petang hari itu, peserta-peserta disajikan dengan BBQ ayam dan ikan yang segar dari kolam Pak Wahab. Terpulang kepada peserta sama-ada hendak berkaraoke, menonton siaran langsung perlawanan bola diantara Manchester United vs Blackburn Rovers atau memancing sambil menikmati ayam panggang atau ikan bakar tadi.
Keesokkan harinya awal-awal pagi rombongan kami bertolak pulang dan Alhamdullillah semuanya selamat sampai kerumah masing-masing. MNK rasa sedikit sumbangan dan kerja amal yang dilaksanakan oleh mereka yang menyertai Konvoi ini amat-amat dirasai dan dihargai oleh penduduk setempat. Namun pada MNK dalam kita memberikan sumbangan dan tenaga kita kepada masyarakat di Batu Malim ini yang lebih penting adalah kita mendidik jiwa kita dan hati kita untuk menjadi insan yang lebih baik dengan nilai-nilai keikhlasan, tawadduk, merendah diri dan sebagainya. Misalnya pemuda-pemuda yang membasuh tandas masjid itu, MNK teringat kata Ustaz MNK dulu bahawa basuh tandas ini merupakan satu latihan jiwa yang amat berkesan untuk kita mengikis perasaan ego dan sombong dalam hati serta mendidik hati untuk tawadduk dan rendah diri. Bukan semua orang sanggup membasuh tandas apatah lagi tandas awam seperti tandas masjid ini. Jadi kalau kita sanggup secara sukarela membasuh tandas masjid ini tanpa ada gaji atau masyuk dan tiada apa-apa peruntukkan, hanya semata-mata ingin melaksanakan kerja kebajikan.

Maka MNK tidak risau apabila tiba PRU 13 nanti kerana Pemuda-pemuda ini jugalah nanti akan menjadi Barisan hadapan Pemuda UMNO Gombak dalam menjadi jentera-jentera untuk tugasan-tugasan PRU Pemuda dengan ikhlas dan demi perjuangan bangsa, agama dan tanahair nanti. Mereka inilah “Orang UMNO” dikalangan Pemuda. Syabas kepada mereka yang turut serta pada program kali ini. Kepada yang tidak berpeluang mungkin boleh turut serta pada program seumpamanya pada masa akan datang.. InsyaAllah.

Gombak!!! Gempur!!!