FOLLOW ME


Tuesday, 27 September 2011

PEMUDA UMNO SUNGAI CHINCHIN GOMBAK HIDUPKAN KEMBALI SEMANGAT GOTONG ROYONG

Pada tanggal 24hb September 2011 yang lalu, Kampung Sungai Chinchin yang terletak di Batu 7 3/4 Jalan Gombak telah mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya JKKKP dan Penduduk Kampung Sungai Chinchin Bersama Penyelaras Barisan Nasional DUN Gombak Setia, Datuk Said Anuar bin Said Ahmad.
Penduduk Kampung Sungai Chinchin menghadiri Jamuan Raya JKKKP Sungai Chinchin

Kampung Sungai Chinchin ini kalau mengikut sejarah merupakan salah satu kampung terawal di Gombak ini. Kampung ini yang satu ketika dulu terkenal sebagai pusat pengajian agama Islam yang mana Wali Allah Syeikh Muhammad Nur Al-Khalidi merupakan pengasas Kampung Sungai Chinchin dan juga merupakan syeikh khalifah Tariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiah yang ke-35. Kampung ini juga merupakan sebuah kampung yang cukup tinggi ikatan persaudaraan serta semangat bantu-membantu antara qariah kampung dalam erti kata lain, qariahnya mempunyai  semangat gotong–royong yang tinggi. Namun ini mungkin cerita dulu 30-40 tahun yang dulu dimana Kg. Sungai Chinchin ini merupakan pusat pengajian agama Islam yang agak terkenal, siap dengan sekolah pondoknya, replica kuburnya yang mana sekiranya kita ingin merasai perasaan didalam kubur boleh lah masuk kedalam kubur buatan yang menurut cerita orang lama dan dari ayah saya sendiri kubur itu memang dibuat khas untuk memberi kesedaran serta keinsafan kepada anak-anak murid Allahyarham Syeikh Noh dan kadang-kala digunakan untuk menghukum anak-anak muridnya.
Replika Kubur yang dibina oleh Syeikh Muhammad Nur Al-Khalidi di perkarangan Masjid Sungai Chinchin. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah buat beliau. Al-Fatihah....
Namun itu 30-40 tahun dahulu, sekarang ini bukan hanya semangat gotong-royong yang longgar dikalangan qariah kampung, ikatan persaudaraan juga menjadi lemah dan ada yang putus sama sekali dek kerana kemasukkan ideologi politik yang berbeza-beza. Ini rasanya bukan hanya di Kampung Sungai Chinchin yang terletak di pinggir kota raya, malah di kampung-kampung yang agak jauh dari bandar juga telah saya percaya semangat gotong-royong ini telah mula terhakis. Misal contoh apabila diadakan kenduri kahwin, kita lebih gemar untuk mengambil khidmat “Catering” atas alasan tidak mahu menyusahkan sedara-mara atau jiran tetangga. Ada yang berpahaman zaman sekarang ini kalau buat kenduri kahwin dengan cara berpakat-pakat dan bergotong-royong kita ketinggalan zaman atau kita berstatus rendah kononnya anak nak kahwin pun tak mampu untuk mengambil khidmat ‘Catering’.

Walhal kita boleh bergotong-royong dan melaksanakan kenduri  tersebut dan duit yang sepatutnya kita bayar kepada ‘catering’ tadi kita bayar kepada persatuan atau kumpulan yang ada didalam kampung itu sebagai sedekah atau sumbangan ikhlas kita untuk digunakan oleh qariah kampung untuk tujuan lain misal membaik pulih surau, membina gelanggang takraw utk anak muda, membaiki rumah qariah yang daif misalnya. Bukan bermakna tidak guna catering kita tidak mampu.
Beberapa Pemuda UMNO Sg. Chinchin sedang kyusuk mengacau Rendang Kawah..yg cekak pinggang tu tak sabar nak kacau tu..Kacau takpa jangan mengacau sudah....
Atas kesedaran inilah maka semangat gotong-royong ini cuba di semarakan kembali oleh Pemuda UMNO Sungai Chinchin. Pada mesyuarat persiapan Jamuan Raya Sungain Chinchin yang diadakan pada 21hb September 2011, wakil Pemuda UMNO Sungai Chinchin ke mesyuarat JKKKP bagi membincangkan persiapan majlis telah menawarkan Pemuda UMNO Sungai Chinchin akan mengambil cabaran untuk penyediaan Rendang Daging utk 300 orang makan atau anggaran lebih 20-30kg rendang dan penyediaan air minuman Teh O panas dan Air Sirap. Cabaran penyedian rendang ini merupakan julung-julung kali ditempuh oleh Pemuda UMNO Sg. Chinchin. Segala-gala kerja dari membeli bahan-bahan hinggalah siap rendang untuk dihidang dilaksanakan oleh Pemuda UMNO Sg. Chinchin. Cuma permantauan dan ramuan kami terpaksa meminta bantuan ibu kepada Setiausaha Pemuda UMNO Sg. Chinchin iaitu “Cik Lah”. Dalam ertikata lain hal berhubung dengan berapa quantiti bahan yang perlu dimasukkan dan bila dimasukkan adalah atas nasihat dan tunjuk ajar Cik Lah.
Pemuda yang penat berehat menghilangkan lelah sambil bersembang sementara menunggu syif untuk mengacau rendang  seterusnya..tak kurang jugak yang sms awek sorry tak dapat jumpa malam nie...hahaha
Mungkin kalau dilihat gotong-royong masak rendang adalah satu aktiviti yang remeh kalau nak dibandingkan dengan aktiviti lain, namun bagi kami ianya pengalaman yang cukup berharga yang mana meraka terlibat telah:-
  1. Dilatih jiwa mereka dan ditanamkan semangat kerjasama antara mereka yang mana ini amat penting kearah membentuk perpaduan dan kesefahaman dikalangan Pemuda UMNO Sg. Chinchin
  2. Mereka diajar untuk menjadi Pemuda UMNO yang bertanggung-jawab yang mana masing-masing melaksanakan amanah yang dipertanggung-jawabkan dengan sempurna baik dari si anu yang membeli daging, si polan yang memikul kawah ke tempat masak, si anu yang menghiris bawang, si polan yg memasak santan dan sebagainya.
  3. Mereka diajar untuk menanamkan semangat keikhlasan dalam melaksanakan tugas untuk Pemuda UMNO yang mana aktiviti gotong-royong ini dilaksanakan tanpa mendapat apa apa bayaran atau habuan, hanya kepuasan hati yang mana mereka telah melaksanakan tugasan dengan sempurna.
  4. Mereka mendapat ilmu berkaitan dengan cara-cara memasak rendang, diharap selepas 3-4 kali aktiviti memasak rendang ini mereka lakukan mereka akan dapat memasak sendiri rendang kawah ini tanpa bantuan siapa-siapa dimasa hadapan. Maksudnya sambil gotong-royong masak rendang mereka juga dalam masa yang sama mengikuti kelas memasak rendang secara praktikal.
Rendang Kawah Pemuda UMNO Sg. Chinchin yang telah siap dimasak. Sedap!!! 
Diatas adalah sedikit sebanyak kelebihan yang Pemuda UMNO Sg. Chinchin perolehi daripada aktiviti Gotong-Royong memasak Rendang yang telah diadakan sempena Jamun Raya Kg. Sungai Chinchin tempoh hari. Setelah majlis tamat ramai yang memuji kesedapan Rendang yang dihidangkan di majlis tersebut termasuk Penyelaras BN DUN Gombak Setia yang beliau sendiri agak terkejut apabila diberitahui bahwa rendang tersebut disediakan oleh Pemuda UMNO Sungai Chinchin.
Pemuda UMNO Sungai Chinchin bergambar kenangan dengan JKKKP Kampung Sungai Chinchin harap ikatan perpaduan yang muda dengan yang muda dan yang tua dengan yang muda akan terus berkekalan.  Amin
Langkah seterusnya yang ingin disusuri kerana ‘feedback’ yang amat positif diterima berhubung rendang mereka itu tadi maka Pemuda UMNO Sungai Chinchin bercadang untuk menjadikan Gotong-Royong masak rendang ini sebagai acara tahunan  pada setiap Raya Aidil Fitri dan Raya Aidil Adha. Mereka juga akan mengambil sebarang tempahan untuk rendang kawah ini pada bila-bila sekiranya ianya melebihi 20kg tempahan untuk menjana dana untuk membina "Court Badminton" di kampung mereka secara gotong-royong juga. Bermula dengan keikhlasan untuk turut membantu penyediaan makanan untuk Majlis Jamuan Raya JKKKP dan Penduduk kampung bersama Penyelaras BN Dun Gombak Setia, ia telah menjadi aktiviti modal insan dan jati diri seperti 4 faktor diatas tadi dan seterusnya membuka peluang menjana ekonomi kepada Pemuda UMNO Sungai Chinchin. Tahniah diucapkan kepada Pemuda UMNO Sungai Chinchin.

Gombak!!! Gempur!!!

WAJIB BACA!!!