FOLLOW ME


Monday, 3 October 2011

AKU DAN UMNO PART 1 - ANAK PEJUANG UMNO


Aku dilahirkan didalam sebuah keluarga UMNO, bapa ku merupakan seorang yang amat aktif berjuang bersama UMNO. Beliau merupakan salah seorang yang mengikut dengan setia dan rapat dengan Arwah Datuk Harun Idris. Beliau merupakan orang kuat Datuk Harun Idris sebaris dengan nama-nama lain yang aku ingati seperti Arwah Dato’ Mufti Shuib, Datuk Fahmi Ibrahim, Datuk Ahmad Razali, Mohktar Shuib adik Dato’ Mufti Shuib dan lain-lain. Banyak cerita-cerita perjuangan UMNO, kepayahan, pengorbanan keikhlasan pejuang-pejuang UMNO terdahulu menjadi cerita malam sebelum tidurku. Kisah beliau bersama rakan-rakan dikepung dirumah arwah Datuk Harun bersama arwah Datuk Harun ketika Arwah hendak ditahan. Kisah beliau dan rakan-rakan pemuda menjadi benteng/pagar manusia berpakaian baju dan seluar putih di Kelab Sultan Sulaiman sewaktu perhimpunan penentangan Malayan Union dan Penurunan Bendera Malayan Union. Kisah beliau bersama anak muridnya dan pemudanya berarak ke Chow Kit dari Setapak sewaktu kejadian 13 Mei 1969 dan banyak lagi antara kisah-kisah yang telah diceritakan kepadaku berulang-kali seawal aku dibangku sekolah rendah hingga kini. Itu cerita diperingkat negeri dan Pusat, cerita UMNO di Gombak dan pengalaman beliau sendiri tidak terkira banyaknya. Terutama tentang hubungan akrab beliau dengan Arwah Ibu Anjah, ketokohan Arwah Ibu Anjah dan jiwa perjuangan Arwah Ibu Anjah.
Gambar Poster Bapaku sewaktu menjadi Calon PRU Adun Gombak Setia 1986
Maka dek sebab latar belakang ku dari keluarga UMNO maka sewaktu aku melanjutkan pelajaran di Jordan dalam bidang Perakaunan aku tidak dapat dipisahkan dengan UMNO dan rupanya aku tidak keseorangan di bumi Ambia ini. Ada juga sahabat-sahabat sepertiku yang amat dekat kepada UMNO. Maka kami ini tadi telah merancang untuk menubuhkan Kelab UMNO Jordan yang mana kami dapati ketika itu  Kelab UMNO ada diwujudkan dinegara lain seperti di United Kingdom misalnya. Rupanya di Jordan juga suatu ketika dulu ada Kelab UMNO tetapi telah terkubur.
Sekadar berkongsi cerita untuk pembaca, sedikit sejarah berhubung Kelab UMNO Jordan ini. Kelab UMNO Jordan telah ditubuhkan sekitar era 80-an namun sewaktu gelombang kegawatan ekonomi dan setelah titik hitam reformasi yang berakhir dengan Dato’ Seri Anwar di penjarakan, Kelab UMNO Jordan telah berkubur kerana ketika itu majoriti pelajar luar-negara khususnya di Jordan menjadikan Anwar sebagai idola mereka memandangkan ketika itu imej yang Anwar "portray" kan amat berkesan dan  mudah untuk mempengaruhi pelajar-pelajar jurusan agama di benua arab ini.
Setelah berkubur Kelab UMNO Jordan ketika itu, atas kesedaran perlunya Kelab UMNO dihidupkan semula di Jordan kerana pengaruh dan gerakan Parti Pembangkang di Jordan ketika itu amat dahsyat, aku bersama 3 rakan-rakan yang lain iaitu (Yazid, Zamani dan Zahrul) telah memulakan usaha untuk menghidupkan kembali Kelab UMNO Jordan (KUJ) pada sekitar tahun 2000. Pada mulanya surat-menyurat dengan UMNO Pusat agak perlahan dan kurang mendapat response. Namun tanpa diduga jalannya dipermudahkan Allah yang mana aku yang biasa melakukan kerja sambilan dengan menjadi drebar dan tourist guide kepada pelancong dan tetamu VIP dari Malaysia telah menerima panggilan dari Kedutaan Besar Malaysia di Amman menanyakan kesanggupan aku untuk menjadi drebar kepada tetamu istimewa rombongan dari Malaysia. Aku diberi tugasan untuk menjadi drebar kepada rombongan Dato’ Seri Noh Omar yang ketika itu merupakan Pengerusi Alumni Kelab UMNO Luar Negara. Peluang menjadi drebar Dato’ Seri Noh Omar ini telah aku gunakan sebaik mungkin dengan mengambil kesempatan ketika bersama didalam kenderaan untuk menyuarakan hasrat kepada Dato’ Seri tentang usaha aku dan rakan-rakan untuk menubuhkan atau menghidupkan kembali Kelab UMNO Jordan dan kalau boleh hendak mengadakan sesi perbincangan dengan Dato’ Seri. Dato’ Seri terus memberikan kata setuju dan bertanya tentang dokumen-dokumen dan menetapkan waktu perbincangan yang hendak dilakukan pada malam itu juga di hotel penginapan beliau.
Menurut Dato’ Noh Omar dia dulu juga di zaman muda pernah menjadi ‘Drebar’ kepada Tan Sri Paduka Zaleha Ismail sewaktu mula berjinak-jinak dengan UMNO Bahagian beliau. (Geng 13?)
                   

Aku terus menghubungi rakan-rakan yang dinamakan di atas itu tadi iaitu Yazid dan Zamani berada di Muta’ah (lebih kurang 2 jam dari Amman) dan Zahrul dari Irbid (lebih kurang 1jam dari Amman) untuk datang ke Amman malam itu juga kerana Dato’ Seri Noh Omar bersetuju untuk bertemu dengan kami. Walhal kalau nak ikutkan aku seharian bersama Dato’ Seri Noh Omar dan jadual beliau begitu padat dan sudah pasti kepenatan setelah menyelesaikan segala aktviti seharian di Amman dan esok pagi-pagi lagi hendak keluar. Aku masih ingat kehadiran Dato’ Seri Noh Omar ketika itu adalah untuk berjumpa dengan tokoh-tokoh undang-undang Islam di benua Arab ini Syria, Jordan, Mesir dan lain-lain negara Arab untuk mengkaji dan mengumpul segala bahan-bahan rujukan berhubung dengan undang-undang murtad.
Akhirnya sewaktu berbincang dengan Dato’ Noh Omar beliau bersetuju dan segala dokumen telah diberikan kepada Dato’ Seri yang mana beliau mengatakan beliau sendiri akan uruskan.  Di akhir perbincangan sambil menikmati kopi panas di lobby Hotel Sheraton Amman, Dato Seri secara sepontan berkata Najib you jadi pengerusi la ya sambil menepuk peha aku yang duduk bersebelahan dengan beliau ketika itu. Memandangkan aku antara yang junior dari sudut tempoh berada di Jordan kerana ketika itu aku masih tahun 2 dan rakan-rakan yang lain sudah pun ‘final year’ dan kami telah bersetuju untuk melantik Saudara Yazid sebagai Pengerusi, aku menolak dengan baik dan menyatakan bahawa kami telah pun mempunyai Barisan penaja Dato’ Seri.
Akhirnya dengan bantuan dan usaha Dato’ Seri Noh Omar, Kelab UMNO Jordan telah berjaya dihidupkan semula dan bermula la kehidupan kami di bumi ambia sebagai ahli Kelab UMNO Jordan. Terima Kasih Dato' Seri. Untuk makluman 80 peratus pelajar Malaysia di Jordan ini ketika itu berdaftar dengan Persatuan Kebajikan anak-anak negeri masing-masing yang mana ianya telah pun di kuasai oleh mereka-mereka yang merupakan penyokong tegar parti pembangkang PAS. Mereka ini berselindung atas nama Ikatan Mahasiswa Islam Jordan (IMIJ) yang mempunyai hubungan langsung dengan pihak pembangkang di Malaysia ketika itu. Persatuan Universiti dan Badan Kebajikan Anak Negeri diseluruh Jordan semuanya dikuasai atau boneka oleh IMIJ PAS. Jadi ramai yang tidak senang hati dengan penubuhan semula Kelab UMNO Jordan ketika itu. Di Bumi Ambia ini kami yang menyokong UMNO dan bersama Kelab UMNO Jordan ini merupakan ibarat pembangkang dan merupakan minority dan mereka IMIJ PAS ini adalah ibarat kerajaan dan majority.  Pelbagai cemuhan dan kejian tidak termasuk, dipulau dan ugutan telah diterima olah adik-adik yang menjadi ahli Kelab UMNO Jordan ketika itu terutamanya akhwat(perempuan). Kemuncak kebencian mereka itu akhirnya tercetus insiden dimana seramai 15 orang datang menyerbu rumah Pemangku Kelab UMNO Jordan ketika itu dan memukul Pemangku Pengerusi Kelab UMNO Jordan sesi 2001/2002 ketika itu Saudara Amir Shahrizat bin Azizan yang berasal dari Negeri Sembilan Darul Khusus yang juga pelajar tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia. (http://www.mykmu.net/~mykmu/modules.php?name=News&file=article&sid=2839)
Oleh kerana KUJ menjadi minority dan di ibaratkan sebagai pembangkang disana maka perpaduan dan ikatan kekitaan amat menebal dikalangan ahli-ahli Kelab UMNO Jordan ketika itu. Tiada yang berebut untuk menjadi Pengerusi Kelab dan masing-masing amat menjaga kebajikan rakan-rakan didalam Kelab UMNO Jordan. Sewaktu kejadian Pemangku Kelab UMNO Jordan dibelasah aku dan rakan-rakan ahli Kelab UMNO Jordan yang lain dari Amman dan Irbid telah berkampung di Muta’ah selama seminggu dimana tempat kejadian itu berlaku. Ada suara-suara mencadangkan untuk melakukan tindakan balas terhadap mereka yang terlibat namun atas nasihat pegawai JHEKS yang berada di Jordan ketika itu iaitu Sdr Affendi Yusoff (sekarang Exco Pemuda Malaysia) tindakan itu dibatalkan. Beliau berkata ini masanya untuk kita membuktikan bahawa ahli-ahli  Kelab UMNO Jordan bukan samseng dan mendokong undang-undang. Kita gunakan saluran dan cara yang betul. Kita heret mereka ke mahkamah.
Selain itu program-program yang dianjurkan oleh KUJ juga kerap-kali diboikot oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana. Pelajar yang bersimpati dan berminat untuk menyertai juga diugut dan dicemuh. Namun ketabahan dan kegigihan ahli-ahli KUJ meneruskan segala gerak-kerja dan aktiviti yang berterusan tidak pernah luntur. Sedikit demi sedikit KUJ telah mula diterima dan mula didampingi oleh mahasiswa-mahasiswi di Jordan ini. Konsep kebajikan dan kesukanan yang dibawa amat mudah diterima oleh mahasiswa-mahasiswi di Jordan.

Pada sessi 2003/2004 buat julung kalinya pemilihan kepimpinan Kelab UMNO Jordan diadakan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kelab UMNO Jordan. Kalau sebelum ini kedua-dua kepimpinan Kelab UMNO Jordan yang terdahulu dilakukan melalui perlantikan oleh Pengerusi Kelab UMNO dan jawatankuasanya, namun pada sessi 2003/2004 ini Jawatan Pengerusi Kelab UMNO Jordan dipertandingkan dan dipilih melalui pemilihan oleh semua ahli yang hadir ke mesyuarat agung.  Aku sendiri telah dicalonkan untuk jawatan Pengerusi Kelab UMNO Jordan setelah 2 tahun menjadi ahli jawatankuasa pada sessi sebelumnya dan Ketua Penerangan pada sessi 2002/2003. Pada tahun penghujung sessi 2003 ini juga aku diantara yang terakhir masih berada di Jordan dari kalangan 4 orang yang bertanggung-jawab menghidupkan kembali Kelab UMNO Jordan ini. Rakan-rakan lain yang bertanggung-jawab menghidupkan kembali KUJ semuanya telah pulang ke tanahair. Alhamdullilah ketika pemilihan itu aku telah menang tanpa bertanding dan telah mendapat sokongan sebulat suara dari para pewakilan yang hadir ke mesyuarat agung tahunan Kelab UMNO Jordan ketika itu.
Saudara Yazid merupakan Pengerusi yang pertama sessi 2001/2002 kemudian di pangku oleh Saudara Amir kerana Yazid pulang ke tanahair dan diikuti oleh Saudara Nik Sukiman 2002/2003. Pada sessi ini pula arahan diterima dari Seketariat Kelab UMNO Luar Negara atas polisi baru diperkenalkan yang mana Pengerusi Kelab akan menyandang jawatan selama 2 tahun dan bukan setahun seperti sebelum-sebelum ini. Maka dengan pemilihan sebulat suara itu tadi maka aku menyandang jawatan Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara untuk sessi 2003/2005.... (bersambung .. nanti kemunculan Aku dan UMNO 2)

WAJIB BACA!!!