FOLLOW ME


Sunday 29 January 2012

KETUA PEMUDA UMNO GOMBAK HIMPUN RIBUAN RAKYAT DI PULAU MUTIARA...



Pada tanggal 24/01/2012 yang lepas MNK turut bersama menyaksikan sendiri satu sejarah dicipta di Pulau Mutiara Malaysia iaitu Pulau Pinang dimana ribuan rakyat telah berhimpun dan hadir di Program Perhimpunan Malam Pendekar 1Malaysia yang telah diadakan di Anjung Times Square Pulau Pinang. Tahniah MNK ucapkan kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gombak, Datuk Hj. Megat Zulkarnain bin Tan Sri Omardin yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia. Program Malam Pendekar 1Malaysia ini telah diilhamkan dan dicetuskan oleh Mahaguru Tan Sri Omardin bin Mauju sendiri selaku Mahaguru dan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia yang mana beliau  juga merupakan bapa kepada Datuk Hj Megat Zulkarnain. Jadi siapa lagi kalau bukan anakanda beliau sendiri yang menjadi salah sorang pengerak utama program ini bersama sahabat dan rakan-rakan lain dari AJK Pusat Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia dan juga dari Pertubuhan Seni Bela yang lain dan NGO-NGO Pulau Pinang serta agensi-agensi kerajaan.

Program yang buat julung-julung kalinya diadakan di Pulau Pinang yang mana kesemua pertubuhan seni bela diri baik dari Silat, Taekwando, Karate, Wushu, Silambam, Gujeraj dan macam-macam lagi telah diberi penghargaan dan pengiktirafan pada malam tersebut oleh YAB Perdana Menteri Malaysia sendiri  yang mana beliau juga merupakan Ulul Amri ketiga Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia. yang telah sudi hadir merasmikan program perhimpunan tersebut. Puluhan ribu rakyat Pulau Pinang dan sekitarnya telah hadir pada malam tersebut dan hampir 70 pertubuhan seni bela diri dan NGO-NGO di Pulau Pinang telah turut serta dan berhimpun pada malam tersebut bagi menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan dibawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

YAB Perdana Menteri juga pada malam tersebut telah sudi untuk memberi sijil penghargaan kepada kesemua 70 orang Tok Guru-Tok Guru, Pengerusi, Ketua atau Pemimpin  pertubuhan-pertubuhan silat, Seni bela diri dan NGO-NGO yang berdaftar menyertai Perhimpunan Malam Pendekar 1Malaysia ini. Upacara penyerahan sijil ini telah disempurnakan di "Rumah Adat" Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia yang telah didirikan bersebelahan dengan pentas utama. Pada malam tersebut sewaktu ucapan YAB PM beliau turut menekankan bahawa Pertubuhan-pertubuhan Seni Bela mempertahankan diri merupakan benteng ketiga pertahanan negara dan beliau turut mengiktiraf Mahaguru Tan Sri Omardin diibaratkan seperti jambatan yang mendekatkan lagi dunia persilatan dan mempertahankan diri dengan kerajaan.

Turut hadir memeriahkan lagi majlis tersebut ialah isteri YAB PM  iaitu YABhg Datin Seri Rosmah Mansor yang juga merupakan Penyandang Selendang Tun Fatimah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.  MNK dipahamkan beliau amat teruja dengan sambutan rakyat dan masyarakat serta pertubuhan seni bela diri dan NGO-NGO terhadap program ini dan telah meminta secara pribadi kepada Mahaguru Tan Sri Omardin untuk diadakan program yang sama seperti ini di Negeri Kedah pula. MNK  sendiri terasa teruja kerana pada satu malam sahaja MNK telah diberikan dengan begitu banyak pendedahan tentang seni-seni mempertahankan diri yang ada di Malaysia ini.


Pelbagai Buah Silat dan Bunga Silat dipertontonkan kepada pengunjung secara live oleh pertubuhan-pertubuhan seni silat yang turut serta. Malah bukan Seni Buah dan Bunga Silat, seni dan buah bunga Silambam pun turut ada yang buat pertama kalinya MNK melihatnya pada malam tersebut. Seperti pengunjung-pengunjung lain MNK berpeluang melihat demonstrasi-demonstrasi baik dari Silat, Silambam, Taekwando dan lain-lain. MNK begitu kagum sekali dengan demonstrasi kerohanian Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia yang telah dilakukan oleh Ketua Pemuda UMNO Gombak sendiri iaitu Datuk Hj. Megat Zulkarnain dihadapan puluhan ribu pengunjung yang mana mereka boleh melihat dengan jelas daripada dua "big screen" yang disediakan untuk menayangkan secara live aksi yang dilakukan dihadapan pentas utama. Bukan calang-calang orang Ketua Pemuda UMNO Gombak ini rupanya. Beruntung Pemuda UMNO Bahagian Gombak kerana mempunyai Ketua Pemuda yang hebat. Kalau bapanya diberi anugerah Pendekar Negara maka beliau ibarat Pendekar Muda Gombak.  

MNK melihat program seumpama ini amat perlu dan sepatutnya lebih kerap dilaksanakan oleh Kementerian atau Jabatan Kerajaan yang bertanggung-jawab dalam hal seumpamanya kerana seni mempertahankan diri seperti Silat merupakan satu budaya bangsa yang kurang mendapat pendedahan khususnya kepada anak bangsa kita sendiri. Ramai diantara kita lebih gemar menghantar anak-anak kita untuk belajar budaya bangsa orang Korea dari belajar budaya bangsanya sendiri iaitu budaya Orang Melayu. Mana tidaknya kita lebih gemar hantar anak kita belajar Taekwando dari belajar Silat. Mungkin ada yang bukan gemar namun itu sahaja kurikulum seni mempertahankan diri yang ada kat sekolah anak kita jadi nak tak nak kita hantar lah belajar budaya Korea. Tak salah kalau nak belajar budaya Korea ker budaya Jepun(Judo, Akido etc) ker tapi belajar lah dulu budaya Malaysia. Budaya Silat.  Dengan kita mempelajari dan sayang serta jaga budaya Malaysia ini sikit sebanyak melatih kita mempunyai perasaan sayang dan bangga kepada negara kita Malaysia ini. Jadi MNK rasa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan  boleh lah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk merangka dan merancangan agar suatu hari nanti budaya Malaysia ini boleh diadakan sebagai satu kurikulum sekolah di Malaysia ini.

Apa pun  Tahniah dan syabas MNK ucapkan kepada Mahaguru Tan Sri Omardin dan anakanda beliau Datuk Megat Zulkarnain atas usaha yang cukup baik ini dan atas kejayaan program ini yang mana telah berjaya menghimpun hampir kesemua pertubuhan seni mempertahankan diri yang ada di Pulau Pinang serta NGO-NGO untuk turut serta didalam program Perhimpunan Malam Pendekar 1Malaysia. Tidak lupa juga kepada semua mereka yang terlibat untuk menjayakan program yang cukup baik ini yang mana selain menyatukan kesemua pengamal seni mempertahankan diri di Pulau Pinang, ianya juga telah memberi peluang kepada pertubuhan seni bela diri untuk mempromosikan pertubuhan masing-masing serta memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri kehebatan seni-seni mempertahankan diri yang ada di  Malaysia ini dan tidak lupa pula kesenian seni-seni itu sendiri.


Mungkin lepas ini boleh difikirkan pula untuk mewujudkan Hari Mempertahankan Diri Malaysia yang mana ianya sebagai satu acara tahunan dimana kesemua mereka berkumpul dan dihimpunkan dan diadakan booth pameran, demonstrasi, promosi dan sebagainya sebagai satu acara  bawah Kementerian Pelancongan bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang akan mengisi calendar tahunan kementerian.

Gombak!!! Gempur!!!


WAJIB BACA!!!