Semalam saya sempat menghadiri perbincangan tertutup sebuah badan NGO yang diadakan di Petaling Jaya. Untuk makluman semua, NGO ini bukan cenderung kepada mana-mana parti politik dan ahlinya terdiri dari pelbagai latar belakang dan fahaman serta ideologi politik yang berbeza-beza. Ia juga terbuka kepada semua kaum. NGO ini cenderung kearah usaha untuk kemantapan taraf hidup masyarakat majmuk di Malaysia ini dan juga untuk menambah-baik semua aspek kehidupan rakyat negara ini baik dari aspek kesihatan, pendidikan, ekonomi, social, keselamatan dan sebagainya.
Berbalik kepada perbincangan semalam, ianya membawa satu tajuk yang hangat diperkatakan oleh rakyat ketika ini iaitu BERSIH 2.0 yang telah berlaku pada 9hb Julai 2011. Soalan yang mula ditujukan kepada ahli perbincangan yang terdiri dari lebih kurang 25 orang itu ialah “ Adakah anda setuju dengan Bersih 2.0 ” . Lalu undian dilakukan dengan mengangkat tangan. Keputusan undian seperti berikut
12 - Tidak bersetuju
7 - Setuju
3 - Tidak Pasti
1 - Tidak mengangkat tangan
Terdapat berbagai pandangan dan tafsiran dari semua peserta perbincangan. Ada yang Pro kepada Bersih dan ada yang Anti-Bersih, namun begitu rata-rata bersetuju dengan pandangan dan menyokong bahawa demonstrasi jalanan adalah bukan caranya untuk menyuarakan atau untuk mengesa usulan mereka itu ke pihak yang bertanggung-jawab diambil perhatian. Pelbagai cara lain yang boleh dilaksanakan untuk matlamat tercapai.
Ada seorang peserta yang berbangsa India menyatakan beliau pernah terlibat dalam Hindraf sewaktu perhimpun Hindraf dulu dan beliau menyatakan akibat Himpunan Hindraf itu, ramai rakan-rakan beliau yang menganggotai MIC sendiri telah tidak memberikan undi dan menolak Barisan Nasional. Beliau berpendapat kaedah ini adalah sama yang diguna pakai oleh Bersih 2.0 dan ini matlamat sebenar Bersih 2.0 untuk berhimpun semata-mata untuk meningkatkan lagi kemarahan dan penolakan rakyat kepada BN bagi menghadapi PRU 13 nanti.
Ada pula seorang peserta menyuarakan pendapat bahawa sekiranya Polis tidak bertindak menyekat dan melakukan penguatkuasaan meleraikan peserta dan hanya membiarkan peserta-peserta himpunan itu berarak sudah pasti tidak akan berlaku seperti apa yang terjadi pada 9hb Julai 2011. Polis sepatutnya hanya berkawal dibahu jalan sepanjang perjalanan peserta tersebut itu berarak maka tidak akan ada kekecohan. Imej Negara tidak akan tercalar dan tidak akan ada kerugian atau kerosakkan harta benda berlaku. Persoalan peserta ini tadi kenapa Polis atau pihak berkuasa tidak melakukan sebegitu?
Timbul pula persoalan dikepala saya ketika itu kalau ini dilakukan kemana mereka nak berarak pada hari tersebut? Ke Stadium Merdeka kah atau Istana Negara atau Dataran Merdeka? Kalau ke Stadium Merdeka, selepas sampai di Stadium Merdeka mereka nak buat apa pula? Masuk Stadium? Berkumpul? Kalau Ke Istana Negara nak buat apa? Hantar Memorandum? La kan hari tu dah duduk mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Agong kenapa tidak dihantar sahaja memorandum tersebut apa hari itu secara peribadi dan diterima oleh DYMM Agong sendiri? Hati saya bekerja keras untuk memujuk minda ini menerima dan menyetujui pandangan peserta ini. Sekiranya Polis menjadi pengiring peserta-peserta Bersih ini pada hari tersebut tidak akan berlaku itu semua. Kedua-dua pihak akan puas hati dan sebagainya namun soalan-soalan itu tadi menyebabkan minda masih tidak dapat menerimanya.
Saya lebih gemar berdiam dan hanya mendengar pendapat hampir kesemua peserta yang telah melontarkan pandangan dan tafsiran masing-masing. Akhirnya ada permintaan dari peserta untuk menyenaraikan kelapan-lapan tuntutan Bersih ini tadi untuk dihayati bersama. Maka terpampang kesemua tuntutan Bersih 2.0 di Screen dihadapan kami. Ada dikalangan peserta yang pada awal sessi tadi menyatakan Setuju dengan Bersih 2.0 telah menyatakan apakah masalahnya dalam memenuhi kelapan-lapan tuntutan ini bukankah tuntutan ini adalah untuk kebaikkan semua. Saya hendak menjawab tetapi ada seorang peserta telah mendahului saya, lalu saya terus senyap dan kembali kepada aktiviti mendengar kembali.
A good listener is not only popular everywhere, but after a while, he knows something.
Wilson Mizner
Wilson Mizner
Jawapan peserta yang menjawab itu “Sekiranya benar mereka ini ingin 8 tuntutan itu diambil perhatian, kenapa semasa perjumpaan dengan Seri Paduka Baginda Agong mereka tidak menghantar memorandum tersebut”. Kenapa perlu berhimpun dengan jumlah begitu ramai sekali? Kenapa tidak menerima cadangan dan mengikut titah DYMM Agong untuk mengadakan di Stadium? Kenapa tidak dilakukan di Stadium Melawati Shah Alam?. Seperti peserta ini telah membaca apa persoalan yang saya ingin lontarkan kalau tidak semua namun mesejnya serupa.
“Apakah Polis atau kerajaan telah bertindak dengan baik dalam menangani Bersih 2.0 dan apakah tindakan atau langkah yang sepatutnya diambil oleh Polis/kerajaan bagi mencegah Bersih 2.0 ini atau yang boleh ditambah baik oleh Polis dan kerajaan dalam menangani Bersih 2.0 ini?” moderator bertanya selepas berapa soalan yang dilontarkan sebelum ini.
Seorang warga Cina yang agak berumur menjawab dia ada berbincang dengan rakan-rakan diluar sana yang mana timbul satu persoalan yang mana apakah dengan mengadakan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyelesaikan dan membincangkan 8 tuntutan ini akan dapat menyelesaikan atau mengelakkan berlaku perhimpunan Bersih 2.0 dan apakah ini salah satu cara Polis atau kerajaan patut pertimbangkan untuk menangani isu Bersih 2.0 ini dan apakah ini boleh diguna pakai sekiranya berlaku Bersih 3.0?
Betul juga apa akan berlaku Bersih 3.0 dan bagaimana pula kerajaan dan Polis akan menghadapinya? Apakah cadanga-cadangan yang boleh kita berikan untuk dipertimbangkan dan apakah cadangan atau idea peserta ini boleh diguna pakai?
Akhirnya saya melontarkan pendapat berhubung dengan soalan ini. Kata saya “ Pada pendapat saya kita kena lihat bukan dipermukaan sahaja sesuatu perkara itu, kita kena lihat matlamat dan agenda tersembunyi dan objektif serta kesan diadakan perhimpunan Bersih ini tadi. Apakah benar mereka yang menganjurkan Bersih 2.0 ini adalah bagi menuntut 8 tuntutan itu tadi atau pun ianya hanya dijadikan alasan oleh pihak yang tidak bertanggung-jawab untuk mendapatkan sokongan dan simpati rakyat dan untuk memberikan gambaran yang buruk dan menimbulkan kebencian rakyat kepada Kerajaan dan pihak polis? Bagi saya seperti apa yang telah diperkatakan baik dari pihak Pro-Bersih atau Anti-Bersih yang kesemunya menolak cara perhimpunan atau berdemo ini, mengapa kalau kita lihat ada beberapa perkara yang mana peluang terbuka luas untuk 8 tuntutan itu boleh disuarakan atau dibincangkan dengan pihak bertanggung-jawab iaitu Suruhanjaya Pilihanraya malah DYMM Agong sendiri. Tetapi peluang ini tidak diambil oleh pihak pimpinan Bersih 2.0. Kenapa baru sekarang dan tidak sebaik sahaja PRU 12 tamat 3 tahun yang lepas tuntutan ini dibangkitkan? Kalau dikaji Himpunan Hindraf/Bersih 1.0, Bersih 2.0 ianya diadakan apabila sudah dekat dengan Pilihanraya. Apakah ini kebetulan atau sengaja untuk mendapat kelebihan sewaktu Pilihanraya akan datang?
Jadi pada hemah saya bukan 8 tuntutan itu tadi yang menjadi isu utama pihak penganjur Bersih 2.0 ini tetapi matlamat sebenar mereka ini adalah hendak berhimpun dan berdemo di Jalanraya untuk mendapat simpati dan menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan. Tidak termasuk mencalarkan imej Negara dan pemimpin Negara dimata dunia. Ada agenda Politik. Selepas kita penuhi 8 tuntutan ini tadi akan timbul pula isu lain yang mana sekali lagi mereka akan berhimpun dan berdemo di jalanraya. Jadi persoalan kita sekarang ini bagaimana kerajaan atau Polis membendung menggagalkan atau membenteras perkumpulan atau perhimpunan haram dijalanraya. Perlukah satu rang undang-undang baru digubal untuk perancang/peserta? Akta baru? Ini yang patut kita kaji dan fikirkan bersama sebab sudah pasti kita tidak mahu Bersih 3.0......