FOLLOW ME


Monday 25 July 2011

PENDEKATAN MENDEKATI PRU 13 UMNO KHUSUSNYA DI SELANGOR.

 Secara pribadi saya dapat merasakan kita sudah hampir ke kemuncak perjuangan kita pada penggal ini yang mana gerak kerja kita, perjuangan kita dan pengorbanan kita akan ditentukan oleh rakyat melalui Pilihanraya Umum yang mungkin akan dilangsungkan tidak lama lagi. Apakah tindakan kita mendekati rakyat, gerak kerja kita berlandaskan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan benar-benar di amati dan di sematkan didalam segala tindakan dan gerak kerja kita khususnya di peringkat Negeri, Bahagian dan Cawangan?  
Kalau kita benar-benar ikhlas hendak menang majoriti serta merampas kembali negeri-negeri yang kalah pada PRU ke-12 sudah pasti kita perlu memberikan tumpuan khas kepada negeri-negeri yang kalah ini tanpa mengabaikan negeri-negeri yang kita menang. Sudah pasti ketelusan perlu ada diantara pemimpin-pemimpin UMNO dinegeri-negeri yang kita kalah ini dalam menjayakan apa saja plan dan tindakan untuk merampas kembali negeri-negeri tersebut. Saya tidak mahu sentuh negeri-negeri lain yang kita kalah tempoh hari sebab mungkin dari segi faktor geographical dan demographical serta isu-isu tempatan yang berbeza-beza maka strategi dan perancangan yang berbeza perlu diterapkan. Juga kerana tidak terlibat secara dekat dan agak jauh dari negeri kelahiran saya dan tempat tinggal saya maka penilaian yang dibuat mungkin tidak “first hand”.  Biarlah saya bercakap tentang negeri Selangor sahaja kerana saya orang Selangor. 
Seperti diatas ini keputusan PRU 12 negeri Selangor. Ini adalah keputusan asal tanpa mengira  mereka yang keluar parti dan menyokong Barisan Nasional selepas memenangi kerusi atas tiket parti pembangkang.  Mengikut pengiraan mudah BN perlu meningkatkan prestasinya dan memenangi 9 kerusi tambahan pada PRU 13 dari kerusi asal yang telah dimenangi pada PRU 12. Maknanya dikawasan DUN yang telah kita menangi pada PRU 12 itu sebanyak 20 kerusi itu perlu kita pertahankan dan kita mengenal pasti 9 kerusi yang mana peluang kita menang DUN tersebut adalah tinggi dan kita harus menambahkan usaha kita mendekati rakyat dan menyakinkan rakyat untuk bersama kita pada PRU 13 nanti.
Sudah pasti sekiranya kita hendak menambah usaha kita mendekati rakyat ini perlu perbelanjaan dan kos. Tiada apa yang percuma, misal kata sekiranya kita hendak membantu rakyat miskin di kawasan DUN yang kita kalah ini lebih daripada kawasan lain, maka  sudah pasti peruntukan yang lebih harus diberikan kepada mereka yang bertanggung-jawab melaksanakan kerja mendekati rakyat itu tadi. Sudah pasti lebih banyak program mendekati masyarakat perlu dilaksanakan di kawasan-kawasan yang kita kalah tadi berbanding dengan kawasan yang kita menang. Sudah pasti lebih banyak peruntukan perlu diagihkan kepada kawasan yang kita kalah daripada kawasan yang kita menang.

Seperti bermain bola sepak, kalau kita lemah dibarisan pertahanan sudah pasti kita perlu berbelanja lebih sewaktu jendela pembelian pemain untuk mencari pemain pertahanan agar kita dapat perkukuhkan barisan pertahanan. Buat apa kita berbelanja lebih dan beli permain penyerang sedangkan kita sudah cukup kuat di barisan serangan? Sedangkan kita tahu yang kita lemah adalah di pertahanan. Begitu juga menghadapi PRU 13 nanti kita tahu kita lemah dan telah kalah di DUN-DUN tersebut kenapa kita tidak berbelanja lebih di DUN-DUN tersebut? Dalam kata lain memberi peruntukan lebih kepada DUN-DUN tersebut agar lebih hebat program-program mendekati rakyat dan pembelaan nasib rakyat dapat dilaksanakan oleh mereka yang diamanahkan?
Persoalan seterusnya yang timbul pula sekarang, siapa yang harus memikul amanah mendekati rakyat? Bagi saya semua ahli UMNO yang sayangkan parti harus memikul tanggung-jawab ini dalam kepasiti masing-masing dan semampunya. Namun begitu terdapat mereka-mereka yang telah diamanahkan tanggung-jawab ini dan harus memikul bebannya sama ada kerana mereka telah memenangi jawatan dalam parti di peringkat cawangan, bahagian atau negeri ataupun mereka telah dilantik sebagai Penyelaras-penyelaras BN peringkat DUN atau Parlimen bagi negeri-negeri yang kita telah kalah seperti di Selangor ini. Segala peruntukan baik dari agensi Kerajaan atau UMNO itu sendiri disalurkan kepada mereka ini.
Persoalan kedua pula, siapa yang sepatutnya diberikan peruntukan dalam mendekati rakyat ini ? Bagi saya kalau usaha kita untuk menghadapi Pilihanraya maka sudah pasti lebih baik peruntukan itu diberikan dan disalurkan terus kepada Penyelaras-penyelaras yang telah dilantik. Manakala dalam usaha kita mendekati dan memujuk ahli-ahli UMNO peruntukannya diberikan dan disalurkan terus kepada Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan Sayap. Ini akan menolak timbulnya isu yang mana peruntukan untuk program UMNO digunakan untuk masyarakat berbilang kaum atau kepada mereka yang bukan ahli UMNO atau mereka yang bukan bangsa Melayu. Ini menjamin ahli-ahli UMNO mendapat hak dan pembelaan sewajarnya dari pemimpin UMNO mereka. Manakala untuk rakyat pula, bagi tujuan mendekati dan memujuk rakyat dan menyakinkan mereka untuk bersama kita pada PRU akan datang, segala peruntukan patut disalurkan terus kepada Penyelaras-penyelaras yang telah dilantik kerana mereka ini telah pun dikenali rakyat sebagai wakil kerajaan BN dan mereka ini mewakili semua baik ahli UMNO atau tidak, bangsa Cina atau India.

Sebagai contoh apa akan jadi sekiranya peruntukan program bulan Ramadhan tidak diberikan kepada Penyelaras-penyelaras tetapi hanya kepada Perhubungan UMNO Negeri sahaja atau UMNO Bahagian sahaja?  Walhal kita tahu surau-surau dan masjid ramai dikuasai oleh ahli parti pembangkang? Bagaimana Penyelaras-penyelaras ini tadi yang bertindak mewakili semua rakyat hendak menghulurkan bantuan pada bulan Ramadhan pada Rakyat yang beragama Islam ini dan secara tidak langsung mendekati rakyat di masjid dan surau-surau sekiranya peruntukan tidak diberikan kepada mereka? Maka perlu ada satu penyelarasan dari segi pengagihan tugas dan tanggung-jawab serta peruntukan yang mana keutamaan perlu dikenal pasti agar kita tidak kecundang lagi pada PRU 13 khususnya di Selangor ini. Matlamat kita haruslah jelas dan tepat kalau kita benar-benar ikhlas hendak merampas kembali Selangor ini dari pembangkang.
Kita harus dilihat sebagai parti yang memperjuangkan semua bangsa tanpa mengabaikan nasib bangsa Melayu dan Islam itu sendiri dan sudah pasti pada bulan Ramadhan bulan istimewa umat Islam dan bangsa Melayu ini yang akan tiba tidak lama lagi, penekanan serta kelebihan diberikan kepada umat Islam. Oleh itu lebih banyak program-program bulan Ramadhan ini perlu dipertingkatkan dan dilaksanakan. Lebih banyak peruntukan harus diberikan kepada Penyelaras-penyelaras untuk program Rakyatnya  dan ketua-ketua Bahagian untuk program UMNOnya. Matlamat kita jelas, kita hendak rakyat baik di sebelah pembangkang dan khususnya atas pagar untuk bersama kita agar kemenangan berpihak kepada kita pada PRU 13 nanti dan kita hendak pujuk ahli UMNO yang merajuk agar kembali bersama kita. Maka kedua-dua memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan matlamat kita merampas kembali Selangor dari parti pembangkang.

Timbang-timbangkan lah!!!!
Gombak Gempur!!!!!




WAJIB BACA!!!