FOLLOW ME


Thursday 14 July 2011

GENERAL PERANG DAN BARISAN TERAKHIR MEMEGANG PANJI PATRIOT


                        

   "Saya tidak takut bala tentera singa yang diketuai oleh seekor biri-biri. Saya takut tentera biri-biri yang diketuai oleh seekor singa.”   
              Raja Iskandar Zulkarnain@ Alexandar The Great

                                                                                                   
Telah timbul bukti-bukti yang sahih tentang bagaimana rupa-rupanya peserta-peserta Bersih tempoh hari merupakan “askar-askar upahan” yang mana mereka ini di bayar oleh pihak-pihak tertentu. Mereka ini tidak ada bezanya dengan “askar upahan” di Indonesia yang mana mereka berhimpun puluhan ribu namun tidak tahu apa-apa tujuan dan hanya untuk menampung kehidupan seharian yang miskin di kota Jakarta maka mereka telah turut menyertai demonstrasi haram tersebut untuk mendapatkan bayaran upah sekitar Rp 80,000 seorang, termasuk diberi makan dan pengangkutan.

Di khabarkan peserta Bersih menerima sekitar RM 200 – RM 500 seorang seperti yang didedahkan oleh pihak di Internet. Ini jelas menunjukkan yang mereka ini bukan benar-benar pejuang dan benar-benar sanggup berkorban dan bencikan kerajaan. Tetapi kerana menginginkan keuntungan duniawi mereka telah sanggup mengenepikan prinsip dan jati diri sebagai anak melayu dan kesopanan warganegara Malaysia. Mereka sanggup mencalarkan dan merosakkan imej negara di mata dunia dan menimbulkan suasana huru-hara di ibukota. Tidak kurang pula dengan lakonan-lakonan seperti si Suhardi Mohd dari Sepang yang sanggup pura-pura mati agar dapat dijadikan bahan oleh bloggers pembangkang untuk menjadikan isu demi memburukkan kerajaan dan pihak polis yang kononnya amat ganas dan amat kejam.

Berbeza dengan peserta Patriot tempoh hari yang terdiri dari anak-anak muda yang telah keluar hanya berlandaskan prinsip dan terpanggil untuk membela masa depan anak bangsa mereka demi pejuangan Pemuda. Ini yang saya boleh nyatakan mewakili Pemuda UMNO Bahagian Gombak yang hadir diperhimpunan Patriot ketika itu. Tidak timbul rasa derhaka pada Raja atau Presiden, tidak timbul rasa takut atau ragu-ragu. Hanya sebagai pengikut, ahli pemuda harus setia dan menyokong ketua dan harus mengikut arahan ketua. Mungkin kumpulan yang hadir ini dilabelkan sebagai penderhaka dan pengkianat namun jelas tujuan Patriot tidak lain dan tidak bukan untuk menjadi benteng ketiga pertahanan negara yang mempertahankan Raja-raja dan Kerajaan yang sedia ada. Mungkin kumpulan Patriot yang hadir di Bukit Bintang ini pada satu hari nanti akan diiktiraf sebagai wira seperti Pejuang-pejuang dahulu kala seperti Tuk Janggut, Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan lain lain yang mana diwaktu hayat mereka dikenali dan dilabelkan sebagai pengkianat oleh kerajaan British ketika itu, namun akhirnya mereka kini diiktiraf sebagai “Patriot”

Saya tidak ingin bercerita dan menceritakan tentang Pemuda Patriot dari Bahagian lain kerana tidak mengetahui perkara sebenar dan takut menimbulkan cerita yang tidak benar dan fitnah maka lebih baik menulis tentang pengalaman diri sendiri bersama Ketua Pemuda Bahagian Gombak dan ahli-ahli Pemuda UMNO Gombak yang turut serta pada Perhimpunan tersebut.

Pada tarikh 8hb Julai 2011, lebih kurang jam 5pm, saya telah menerima satu Blackberry message yang berbunyi  “Semboyan telah berbunyi, Patriot berkumpul didepan KFC Jalan Bukit Bintang jam 9 pagi”. Berdebar-debar hati ketika itu, apakah akan berlaku pertembungan Melayu dengan Melayu?  Apakah Patriot akan berperang dan berdepan dengan Bersih? Apakah akan berlaku 13 Mei sekali lagi tetapi kali ini sebangsa? Apakah Melayu Patriot ini akan mengamuk di Bukit Bintang? Itukan tempat ramai bangsa Cina? Ini merupakan beberapa persoalan yang bermain dikepala saya apabila selesai membaca mesej Blackberry tersebut.

Lebih kurang jam 5.30pm waktu pejabat tamat saya terus balik seperti rutin harian saya tapi kali ini tepat tamat tempoh waktu pejabat terus “punch card” dan terus bergegas untuk mengambil isteri tercinta di pejabatnya  dan seterusnya ke rumah orang tua saya untuk mengambil anak-anak. Dalam perjalan ke pejabat isteri, saya menghantar bbm berbunyi

“ Pergi macam mana boss? Berkumpul jam berapa atau pergi sendiri dan jumpa esok di sana?

Jawapan diterima : Abang dah ada di BB, elok masuk malam ni takut esok dah tak boleh masuk.

Didalam kereta saya hanya mengatakan pada isteri, malam ni abang ada program dan esok pagi Patriot on.... mungkin malam ni abang dah kena masuk Bukit Bintang sebab KL tutup dan banyak jalan masuk KL akan ditutup.  Kenapa kena pergi malam nie pergi je la esok pagi bukan ada apa apa pun sangat. You tido mana kalau tak balik malam ni? Katanya... saya menjawab...kena masuk malam ni...tido dalam kereta jer la dan terus diam. Kepala masih serabut apa kan terjadi malam ini dan yang utama apa akan terjadi esok hari.

Sampai dirumah orang tua, saya terus mengadap ayah saya dan menceritakan segalanya dan dia mengangguk, mak pula mencelah tidak payah pergilah tak bahaya ker? Saya menjawab kena pergi mak....belum saya sambung ayah yang menambah katanya mana boleh dia tidak pergi, eloklah kau nak pergi, kita tidak boleh meninggalkan sahabat kita dalam perjuangan kalau Ketua dan sahabat pergi kau pun mesti pergi. Saya pun kata memang saya telah bertekad untuk turut serta. Adalah sedikit nasihat yang dia berikan, katanya berhati-hati tengok atas bangunan-bangunan tu takut ada orang yang akan baling asid, batu dan sebagainya. Elak jalan ditempat terbuka elok jalan dibawah tertutup. Baca ayat itu, ini sebelum melangkah masuk Bukit Bintang itu serta beberapa petua. Dia menceritakan sedikit pengalaman dia sewaktu 13 Mei diakhiri slogan “ Bergerak Gunung, Batu Pecah”...entah berapa kali saya dah dengar ungkapan ini dari Ayah namun kali ini ia memberikan satu semangat yang agak berbeza dari yang sebelum-sebelum ini bila Ayah membaca ungkapan ini. Saya memandang wajah isteri yang kelihatan agak risau dan matanya yang hampir berlinangan. Hati saya seperti terdetik mungkin ini perasaan yang dialami oleh Ayah saya ketika turut serta pada 13 Mei dulu.

Selepas makan malam saya terus bersama isteri dan anak-anak pergi ke Super Market Giant di Seri Gombak. Ketika itu hampir jam 8.00 mlm. Saya terus menuju ke tempat bahan mentah. Ayam 2 ekor potong 15, Gula, Garam, Ikan, Makanan Tin Sardin dan Beans saya beli sebanyak 6 tin besar tiap satu dan macam-macam lagi. Pembelian barang makan jer hampir RM 300 yang mana bukan kebiasaan perbelanjaan kami sekeluarga. Lebih macam stock sebulan la nie, maka kelihatan wajah isteri saya semakin risau lalu dia bertanya ketika saya membuat pembayaran “Kenapa banyak sangat bang?".Jawapan saya ringkas "Persediaan sekiranya terjadi apa apa”.   

Sampai dirumah terus saya mandi dan kemas barang keperluan. Sebelum keluar bilik, saya ambik anak-anak peluk cium mereka dan dakap mereka, berat hati nak meninggalkan anak perempuan saya yang masih kecil ini seorang 5 tahun dan seorang 1 tahun 7 bulan.  Bermain dengan mereka sebentar dan kemudian saya salam peluk cium isteri dan sebelum berlalu saya ambik tangan dan cium sambil berkata abang mintak maaf kalau ada apa-apa kesalahan...dia pun kata yang sama. Isteri menghantar saya ke kereta, selalu bila keluar program UMNO hanya hantar sampai depan pintu sahaja. Jelas kali ini amat berbeza sekali. Tiada banyak nak diperkatakan atau masing-masing tidak tahu nak kata apa.

Masuk kereta sahaja saya terus menalipon seorang rakan dan dia mengatakan dia telah keluar rumah juga dan menghala ke Bukit Bintang. Kami kenal pasti satu lokasi untuk bertemu supaya beliau boleh meninggalkan keretanya disitu agar kami boleh pergi bersama dengan satu kereta ke Bukit Bintang. Sepanjang perjalanan rakan saya juga agak senyap, tiada halangan tiada sekatan sepanjang perjalanan kami menuju ke Bukit Bintang. Tidak timbul atau mengira dimana saya hendak tidur atau apa akan terjadi. Saya dah sedia menerima apa saja yang ditakdirkan akan berlaku esok hari. Tidak terlintas atau timbul soal duit makan, duit minyak atau duit poket dan sebagainya seperti yang dimainkan oleh bloggers pembangkang. Perjuangan ini bukan kerana duit. Demi Allah tiada satu sen pun saya terima dari sesiapa kerana menyertai perhimpunan Patriot ini. Saya percaya sahabat-sahabat Pemuda UMNO Bahagian Gombak turut rasa begitu juga apabila membuat keputusan untuk hadir menyertai perhimpunan Patriot ini. Sebaik memasuki kawasan Bukit Bintang saya  terus membaca didalam hati ayat yang dipesan oleh ayah saya dan terus di akhiri dengan “Bismillah hi tawakaltu”.

Inilah luahan hati dan cerita ikhlas salah seorang ahli Pemuda dari Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gombak.


Gombak!!!! Gempur!!!!

WAJIB BACA!!!