FOLLOW ME


Monday, 4 July 2011

PEMUDA UMNO PRA-MERDEKA

Ayuh kita mengenali PEMUDA UMNO dengan lebih dekat bermula dengan Era Pemuda UMNO Pra-Merdeka. Izinkan saya berkongsi penulisan berhubung dengan Pemuda UMNO untuk rakan-rakan dan sahabat seperjuangan yang ditulis oleh Mohd Khusairi Abdul Talib. Diharap ia akan dapat dijadikan tauladan dan petua ibarat kata pujangga

Ada pun yang disembahkan
Datangnya dari Allah,
Waris daripada Nabi,
Dijadikan Undang pada yang Tua,
Dijadikan Petua pada yang Muda.

Selamat membaca!!! 

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang wujud ketika ini telah melalui pelbagai proses kematangan dan cabaran sejak mula  ditubuhkan.  Ia telah banyak melahirkan pemimpin-pemimpin Negara yang berkaliber dan disegani, dan sentiasa menekankan soal kepentingan bangsa Melayu sebagai intipati perjuangannya.  Biarpun pergerakan ini dIterajui silih berganti, tetapi asas perjuangannya tetap sama, iaitu sebagai kumpulan pendesak dan pembela terhadap pelbagai isu membabitkan agama, bangsa dan Negara.  Pemuda UMNO sentiasa berperanan selaku sayap kanan kepada badan induk UMNO yang menjadi tunjang pemerintahan Negara sejak Pilihanraya Umum 1955.

Sejak sebelum mencapai kemerdekaan, pendekatan yang digunakan Pemuda UMNO sentiasa digeruni dan dihormati oleh kawan dan lawan.  Pendekatan yang sentiasa tegas , lantang dan berani adalah imej sebenar Pemuda UMNO.  Setiap isu yang mencabar kepentingan agama, bangsa dan Negara akan diladeni oleh Pemuda UMNO) dengan nadanya yang tersendiri, sehinggakan kadang-kala merunsingkan kepimpinan induk UMNO.  Tetapi itulah cara Pemuda UMNO, yang pantang dicabar dan sanggup melakukan apa sahaja demi maruah agama, bangsa dan tanahair.
 Sejarah penubuhan Pemuda UMNO bermula pada 1 dan 2 Mac 1947, apabila Persidangan Agung UMNO di Seremban memutuskan untuk menubuhkan beberapa jabatan baru dalam parti itu, termasuk Jabatan Pemuda.  Jabatan baru ini bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan muda Melayu menyertai UMNO.  Kapten Hussein, anak Yang Dipertua UMNO Dato’ Onn Jaafar, telah dilantik sebagai Ketua Pemuda ketika berusia 26 tahun.
Tiga tahun selepas Jabatan Pemuda dibentuk, peranannya tidak begitu jelas kerana masih wujud organisasi golongan muda yang lain di Tanah Melayu.  Malah ada di antara organisasi muda itu mempertikaikan peranan Jabatan Pemuda.

Pada 26 Ogos 1949, Jawatankuasa Kerja Agung UMNO telah menganjurkan satu persidangan wakil-wakil UMNO dari bahagian-bahagian dengan wakil-wakil pemuda bagi membincangkan hala tuju dan masa depan Jabatan Pemuda.  Persidangan itu berlangsung di Butterworth, Seberang Prai dan dihadiri Yang Dipertua UMNO, Dato’ Onn Sebagai Penasihat dan Kapten Hussein sebagai Setiausaha Hal Ehwal Pemuda UMNO serta 25 orang wakil dari 14 bahagian UMNO.

Perbincangan utama adalah untuk memperluaskan fungsi Jabatan Pemuda dengan menubuhkan perikatan antara pemuda-pemuda UMNO dan bahagian-bahagian UMNO di seluruh Persekutuan Tanah Melayu.  Nama Jabatan Pemuda ditukar kepada Perikatan Pemuda UMNO.  Perikatan ini bukan sahaja menjadi sebuah badan yang tersendiri tetapi turut memiliki undang-undang dan peraturan mesyuaratnya sendiri.

Buat pertama kalinya Pemuda UMNO mempunyai barisan jawatankuasa yang lengkap bagi tempoh 1949-1950, di mana Kapten Hussein dilantik sebagai Ketua Perikatan Pemuda UMNO yang pertama.  Selain itu, wakil ke persidangan Majlis Mesyuarat Agung Pemuda UMNO turut dilantik iaitu Tuan Haji Ahmad bin Abdullah Fahmi dan Encik Shafie Ibrahim.

Setelah ditubuhkan secara rasmi pada 26 Ogos 1949, Perikatan Pemuda UMNO memainkan peranan menjaga kebajikan pemuda berpandukan undang-undang Perikatan Pemuda dan undang-undang Tubuh UMNO.  Peranan Perikatan Pemuda UMNO ketika itu adalah sebagai pelaksana terhadap dasar-dasar yang diputuskan oleh badan induk UMNO berlandaskan slogan “Hidup Melayu” .

Kapten Hussein telah melepaskan jawatan Ketua Perikatan Pemuda UMNO pada Ogos 1950 apabila beliau dilantik Setiausaha Agung UMNO menggantikan Datuk Panglima Bukit Gantang.

Perikatan Pemuda UMNO kemudiannya menerima kehadiran Dato’ Abdul Razak bin Hussain (kemudiannya Tun) selaku ketua secara tidak dirancang.  Ketika hadir sebagai pemerhati dalam Persidangan Perikatan Pemuda pada Ogos 1950 di Kuala Lumpur, para perwakilan telah melantik Tun Razak sekalu Ketua Perikatan Pemuda tanpa ditandingi, walaupun ianya tidak dijangkakan oleh pemimpin kelahiran Pahang ini.  Tun Razak menerima jawatan itu, biarpun beliau lebih banyak menjurus tenaga kepemimpinannya terhadap UMNO keseluruhannya.

Pada tahun 1951, Tun Razak dan Tun Sardon jubir membuat satu persefahaman yang agak unik dalam sejarah UMNO.  Mereka bersetuju untuk bertukar jawatan masing-masing, dengan Tun Razak mengambil alih jawatan Timbalan Presiden – orang kedua pentingnya di dalam UMNO selepas Dato’ Onn, dan Tun Sardon menjadi Ketua Perikatan Pemuda.  Dari situ, ber4mulalah era baru dalam sejarah kepemimpinan Pemuda, dari sebuah pergerakan yang dilihat agak pasif, kepada satu gerakan pendesak yang digeruni oleh pihak lawan, termasuk daripada penjajah Inggeris.
Perikatan Pemuda UMNO di bawah kepimpinan Tun Sardon selaku ketua, dan Datuk Ahmad Badawi selaku naib ketua telah melakarkan satu sejarah Pemuda yang cukup berwibawa, tegas dan drastic.  Dalam menghadapi era pra-merdeka, Tun Sardon berjaya mencorakkan Perikatan Pemuda UMNO sebagai satu kumpulan pendesak (pressure group) yang tidak pernah dimimpikan oleh sesiapa sebelumnya.

Perikatan Pemuda UMNO telah banyak memainkan peranan mempercepatkan proses kemerdekaan Negara, satu perkara yang dianggap oleh Inggeris sebagai benar-benar  mengancam kedudukan mereka.  Selain itu, Tun sardon telah dapat memulihkan semula maruah orang Melayu yang telah dijajah selama 446 tahun, dengan beberapa tindakan tegas yang mencabar keangkuhan Inggeris, khususnya menjelang kemerdekaan.

Pada 1951, Perikatan Pemuda UMNO mencadangkan supaya slogan “Hidup Melayu” ditukarkan kepada “Merdeka” .  Bagi Pemuda, apa gunanya Melayu terus hidup sedangkan diri dijajah. Biarpun slogan “Hidup Melayu” telah dapat membangkitkan semangat orang Melayu untuk menentang Malayan Union dan membawa kepada penubuhan UMNO pada 1946, tetapi slogan itu perlu ditukar kepada satu perjuangan yang lebih jelas, iaitu menuntut kemerdekaan hakiki daripada Inggeris.

Dato” Onn pada mulanya membantah cadangan Pemuda UMNO ini.  Baginya , slogan “Hidup Melayu” telah berakar umbi dalam jiwa orang Melayu selama lebih lima tahun, dan slogan itulah yang telah dapat menyatupadukan orang Melayu di seluruh Tanah Melayu daripada perpecahan sejak beratus-ratus tahun sebelum penubuhan UMNO.

Selain, itu, Dato’ Onn berpendapat, slogan “Merdeka” pernah dilaungkan oleh PKMM pimpinan Ibrahim Yaakub, satu pertubuhan yang telah diharamkan oleh Inggeris dan pernah bermusuhan dengan UMNO.

Tun Sardon pula berpendapat, tindakan Pemuda hendak menukar slogan kepada “Merdeka” tidak akan mengubah pendirian orang Melayu untuk terus hidup bersatu padu.  Malah menurutnya, Melayu akan terus hidup di bumi Melayu berdasarkan pesanan Hang Tuah, “tak kan Melayu hilang di dunia”.

Akhirnya, dalam Perhimpunan UMNO pada 1951 telah diputuskan supaya slogan “Hidup Melayu” ditukar kepada “Merdeka”, sekali gus mengiktiraf perjuangan Pemuda UMNO dalam merealisasikan sebuah Negara merdeka.  Sejak dari itu, slogan “Merdeka” meniti di bibir orang Melayu, dan semakin merunsingkan pihak Inggeris..  Tetapi slogan tanpa tindakan tidak akan dapat membawa  orang Melayu ke mana-mana, dan slogan itulah yang menjadi pemangkin kepada UMNO untuk lebih serius menuntut kemerdekaan.

Inggeris merasakan Perikatan Pemuda menjadi ancaman terhadap kepentingan mereka sehingga mengugut untuk mengharamkan perikatan itu.  Tetapi Tun Sardon mencabar Inggeris berbuat demikian, dan ketegasan Pemuda itu turut mendapat sokongan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menggantikan Dato’ Onn selaku Yang Dipertua UMNO pada 1951.
Bagi memperkukuhkan lagi gerakan Pemuda sebagai kumpulan pendesak untuk mendapat kemerkdekaan, nama Perikatan Pemuda UMNO telah ditukar kepada Pergerakan Pemuda UMNO pada 1955.  Nama tersebut ditambah dengan perkataan Malaysia pada 1963 apabila Malaysia dibentuk dan kekal hingga ke hari ini.

Akibat desakan yang bertali arus dari Pergerakan Pemuda UMNO dan semangat kebangsaan yang ditunjukkan oleh orang Melayu di seluruh tanahair, akhirnya Inggeris bersedia memberikan kemerdekaan, tetapi tarikhnya menjadi tandatanya di kalangan orang Melayu.  Tunku Abdul Rahman sentiasa bertolak ansur kepadapihak Inggeris dalam menentukan tarikh kemerdekaan, tatapi Pergerakan Pemuda UMNO di bawah pimpinan Tun Sardon telah sekali lagi memainkan peranan sebagai “pressure group” dengan mendesak supaya tarikh kemerdekaan ditetapkan pada 31 Ogos 1957.  Persidangan Agung UMNO pada 26 dan 27 Disember 1955 telah meluluskan cadangan yang dibentangkan oleh Tun Sardon dan Inggeris akhirnya bersetuju dengan tarikh yang ditetapkan Pemuda UMNO itu.

Malahan beberapa hari sebelum kemerdekaan dicapai, Pemuda UMNO mendesak supaya bendera Union Jack diturunkan pada detik 31 Ogos 1957 untuk digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu sebagai simbol kemerdekaan tanahair.  Desakan Pemuda UMNO ini mulanya mendapat bantahan dari Pesuruhjaya Tinggi British dengan alasan tindakan itu boleh menjatuhkan maruah Inggeris.

Bagaimanapun Pemuda UMNO berpendapat maruah orang Melayu yang telah dijajah sejak sekian lama adalah lebih penting dan satu simbol pembebasan dan pemulihannya perlu dilakukan.  Pada detik 31 Ogos 1957, berlakulah satu lagi peristiwa bersejarah di padang Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur apabila bendera Union Jack diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan sebagai simbol kemerdekaan dan pembebasan tanahair daripada belenggu penjajahan Inggeris.  Sekali lagi, imej Pemuda UMNO dalam melakarkan sejarah penting Negara tercatat.

Perjuangan Pemuda UMNO tidak habis setakat mencapai kemerdekaan semata.  Ketika Negara terus dilanda darurat akibat keengganan komunis mengiktiraf kemerdekaan, Pemuda UMNO memainkan peranan menyakinkan rakyat terhadap konsep sebuah Negara merdeka.  Akhirnya darurat ditamatkan pada 1960.

Tetapi Pemuda UMNO sekali lagi berhadapan dengan cabaran apabila Indonesia melancarkan konfrantasi terhadap Malaysia, apabila Negara jiran itu tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia pada 1963.  Pemuda UMNO sentiasa memperrtahankan pembentukan Malaysia melalui keputusan yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Cobbold.  Sehingga di satu peringkat, apabila Indonesia terus berkeras, Tun Sardon telah mencabar Aidit, pemimpin Indonesia yang celupar ketika itu, untuk bertumbuk dengannya.  Walaupun tindakan itu dilihat kenanak-anakan, tetapi itulah antara symbol betapa Pemuda UMNO sanggup melakukan aoa sahaja demi memperrtahankan maruah dan kedaulatan Negara.

Tun Sardon dan Datuk Ahmad memimpin Pemuda UMNO selama 14 tahun.  Ketika itu terlalu ramai pemimpin pergerakan berkenaan berusia lebih 40 tahun.  Satu pindaan dilakukan terhadap Pergerakan Pemuda UMNO apabila umur bagi meminpin pergerakan itu dihadkan kepada 40 tahun, kecuali jawatan Ketua Pemuda.

Pada 1964, buat pertama kalinya dalam sejarah, jawatan Ketua Pemuda dipertandingkan dan Tun Sardon ditentang oleh sahabat karibnya.  Datuk Senu Abdul Rahman.  Tun Sardon tewas dan berakhirlah satu era lagenda dalam kepimpinan Pemuda UMNO.  Era Tun Sardon bolehlah dianggap sebagai satu asas pembentukan perjuangan dan imej Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, dan sememangnya masih menular dalam pergerakan tersebut hingga hari ini.

WAJIB BACA!!!