FOLLOW ME


Sunday, 19 June 2011

PERBAHASAN WAKIL PEMUDA UMNO BAHAGIAN GOMBAK MEMBAHASKAN USUL PENDIDIKAN UMNO BAHAGIAN GOMBAK 2011


Membahaskan Penubuhan Kolej UMNO dan Menambah Penubuhan Sekolah Vokasional
Tuan-tuan & puan-puan, para perwakilan sekalian,
Bangsa kita telah lama ketinggalan baik dari segi ekonomi dan yang utamanya pendidikan. Dasar penempatan British yang mana orang Melayu ditempatkan di kampung-kampung,  orang Cina di bandar-bandar dan orang India di estet estet merupakan satu faktor yang menyebabkan bangsa Melayu tertinggal dalam sektor pendidikan.
Penang Free School yang terletak di Church Street, Pulau Pinang merupakan sekolah pertama di Malaysia yang telah dibuka dengan rasminya pada 20 Oktober 1816. Memandangkan sekolah pertama ini dibuka ditengah bandar yang mana kerana faktor dasar penempatan British dimana kaum Cina diletakkan di bandar-bandar ketika itu maka pelajar-pelajar sekolah pertama Tanah Melayu ini merupakan anak-anak peniaga berbangsa Cina yang menetap di bandar-bandar.
Sekolah Melayu yang pertama sekali ditubuhkan ialah pada tahun 1855, iaitu di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Hampir 39 tahun anak-anak Melayu tertinggal didalam pendidikan di tanah Melayu ini berbanding dengan bangsa Cina.

Senario di sekolah-sekolah Cina pula agak berbeza kerana sekolah-sekolah ini dibiayai dan mendapat sumbangan dari masyarakat Cina yang terdiri daripada golongan peniaga-peniaga. Sekolah-sekolah Cina ini berkembang pesat dan diteruskan ke peringkat sekolah menengah. Di peringkat awal, iaitu pada tahun 1917, sekolah Cina mula mendapat bantuan dari Negara China pula dan telah menggunakan bahasa "Kuo Yue". Hanya mulai tahun 1920-an, sekolah-sekolah ini diberi pilihan sama ada untuk mendapat bantuan dari Negara China atau kerajaan tempatan.

Namun sekolah Melayu tidak mendapat apa-apa bantuan kerana kita masih dijajah oleh British dan kita maklum British ketika itu pun bukan hendak membela nasib Melayu.
Menyedari hanya melalui ilmu dan pendidikan sahajalah sesuatu kaum dapat mengeluarkan bangsa mereka dari kemelut kemisikinan, gejala social dan menjadikan bangsa mereka bermertabat, bermaruah, maju dan dihormati,
Allahyarham Tun Abdul Razak salah satu pemimpin hebat UMNO ketika itu selaku Menteri Pelajaran yang pertama setelah memenangi pilihan raya umum Malaya pada Julai 1955 telah menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran dan mengesyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan yang dikenali sebagai Penyata Razak (1956) hingga ke hari ini

Cadangan-cadangan dalam penyata tersebut telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957
OBJEKTIF DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN
DINYATAKAN DALAM PENDAHULUAN AKTA PELAJARAN 1961:
“BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diistiharkan dalam Ordinan pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan Negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya...
Sekarang ini bukankah ini satu keperluan bagi memastikan anak-anak Melayu UMNO mendapat pembelaan dari segi pendidikan???
Saya masih ingat cerita dari bapa saya bagaimana beliau bersama tokoh-tokoh hebat UMNO termasuk Tun Abdullah mantan PM, bersama didalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah masuk ke kampung-kampung untuk memberi penerangan, kesedaran dan menyakinkan orang kampung, memberi galakan dan dorongan serta semangat pentingnya pendidikan dan ilmu. Memujuk mereka untuk menghantar anak anak mereka belajar di sekolah Ingeris ini dan bukan hanya menghantar anak anak mereka ke sekolah agama atau sekolah pondok.
Kerana pada ketika itu wujud satu fahaman dikalangan orang-orang kampung sekiranya mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah Ingeris, mereka menghantar anak mereka masuk Kristian.

Sekarang ini orang kampung paham kepentingan pendidikan dan pelajaran, ada anak kampung yang telah merantau hingga keluar negara melanjutkan pelajaran dan membawa pulang ijazah yang kita tidak pernah terfikir kewujudannya seperti Ijazah Astronautik, Aerospace Engineering, Nano Technology, Bio-tech yang mana nak menyebut pun tergeliat lidah. Semuanya bersifat futuristik untuk masa hadapan yang ada setengahnya belum pernah diceburi.

Ini tidak lain dan tidak bukan adalah hasil perjuangan tokoh-tokoh UMNO contohnya melalui dasar pendidikan Negara dan biasiswa yang digubal dan disediakan.

Tumbuh Melata si pokok tebu,
Pergi Pasar membeli Daging,
Banyak harta tak ada ilmu,
Ibarat Rumah tidak berdinding,

Namun masih ada anak-anak kampung yang ingin melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang-bidang kemahiran vokasional dan teknikal namun kerana kekurangan satu kredit atau keputusan yang agak terkurang meritnya, mereka ini tidak mendapat tempat kerana tiada tempat yang disediakan untuk mereka ini. Mereka ini pula ramai dikalangan anak-anak ahli UMNO sendiri yang tercicir dan terpinggir.

Saya petik Falsafah pendidikan Negara.

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

PENDIDIKAN DI MALAYSIA ADALAH SATU USAHA BERTERUSAN KE ARAH PERKEMBANGAN POTENSI INDIVIDU SECARA MENYELURUH DAN BERSEPADU UNTUK MEWUJUDKAN INSAN YANG SEIMBANG DAN HARMONIS DARIPADA SEGI INTELEK, ROHANI, EMOSI DAN JASMANI BERDASARKAN KEPERCAYAAN DAN KEPATUHAN KEPADA TUHAN. USAHA INI ADALAH BAGI MELAHIRKAN RAKYAT MALAYSIA YANG BERILMU PENGETAHUAN, BERKETERAMPILAN, BERAKHLAK MULIA, BERTANGGUNGJAWAB DAN BERKEUPAYAAN MENCAPAI KESEJAHTERAAN DIRI SERTA MEMBERI SUMBANGAN TERHADAP KEHARMONIAN DAN KEMAKMURAN MASYARAKAT DAN NEGARA.

Saya ingin menyentuh perkara 7 dan perkara 9 yang termaktub didalam strategi perlaksanaan  Dasar pendidikan Negara yang mana:-

STRATEGI PELAKSANAAN PENDIDIKAN NEGARA
Perkara 7

Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman

Perkara 9.

Memperluas pendidikan vokasional dan teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978.

Bukankah kita, anak-anak kita ahli UMNO, abang kakak kita ahli UMNO yang tertinggal dari segi pendidikan ini yang dimaksudkan dalam perkara 7 itu tadi, kumpulan kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar?
Kerana majoriti orang Melayulah yang tertinggal dalam sektor pendidikan ini, orang Melayu lah yang rata-rata tinggal di kawasan luar bandar dan majoriti orang Melayu lah tinggal di pedalaman.

Namun ketika ini di setelah 65 tahun UMNO memerintah kita masih tertinggal berbanding bangsa-bangsa asing dalam  satu lagi aspek iaitu penubuhan kolej atau universiti. Walhal yang merangka dan merancang dasar pendidikan negara adalah tokoh-tokoh hebat UMNO sendiri seperti Allahyarham Tun Abdul Razak, bapa kepada Presiden Parti Keramat ini dan Perdana Menteri Malaysia sekarang ini.
Seperti kata YB Dato Mukriz saya petik dari Utusan Malaysia bertarikh 10/05/2011
“Parti politik seperti MCA, Gerakan dan MIC turut mempunyai institusi yang sama. Ia sudah menjadi tradisi bagi hampir kesemua parti politik.”
Benar kata YB Dato Mukriz ini tetapi sayang hingga kini ianya belum menjadi tradisi Parti UMNO. Jika kita lihat fakta berikut
MCA ada University-Kolej Tunku Abdul Rahman yang dibina pada 24hb Februari 1968, MIC ada Kolej TAFE yang dibina dan beroperasi pada 1988. MIC juga ada Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia yang mula beroperasi sejak 30 October 2001
UMNO? Mana Kolej atau University Kolej UMNO?
Sudah sampai masanya UMNO juga harus mempunyai Kolej malah Kolej-Universiti yang merupa hak milik penuh UMNO yang memberi keutamaan kepada anak-anak ahlinya untuk melanjutkan pelajaran mereka.
Malah sekolah-sekolah vokasional juga perlu di wujudkan semula bagi menampung keperluan anak-anak melayu yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang bagi meneruskan pembelajaran mereka dalam kemahiran vokasional di peringkat menengah. Kerana sekolah Vokasional yg ditukar kepada sekolah Teknik hanya menerima mereka2 yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan? Apa pula nasib anak-anak kita yang tidak mendapat keputusan cemerlang diperingkat menengah ini tadi?
Pengajaran dan pembelajaran serta kursus-kursus yang ditawarkan kolej UMNO ini adalah menjurus kepada kemahiran teknikal dan vokasional yang mana bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir pada masa hadapan.
Bukan ini termaktub dan dimaksudkan dalam Perkara 9 Strategi Perlaksanaan Dasar Pendidikan Negara? Memperluas pendidikan vokasional dan teknik.
Ini juga perlu untuk menunjukkan kepada rakyat khususnya golongan bumiputera, akan sumbangan parti UMNO dalam membangunkan generasi muda. Sudah banyak kolej kemahiran milik bumiputera yang telah diwujudkan di negara ini. Namun, masyarakat melihat penubuhan kolej itu adalah hasil usaha orang lain dan tiada kaitan dengan UMNO secara keseluruhannya. "Penubuhan kolej UMNO ini adalah usaha murni  UMNO yang ingin membantu golongan muda , anak-anak ahli UMNO khususnya yang tertinggal atau terkandas dalam pelajaran atau yang tidak berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi supaya diberi peluang kedua dalam bidang kemahiran,"
DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN HARUS MENAMPUNG KEPERLUAN NEGARA PADA MASA KINI DAN AKAN DATANG. SELARAS DENGAN HASRAT NEGARA SEBAGAI SEBUAH NEGARA PERINDUSTRIAN ADALAH PENTING RAKYAT MEMPUNYAI PENDIDIKAN SECUCUK DENGAN KEPERLUAN SWASTA DALAM BIDANG PENGELUARAN, PELANCONGAN, PERKHIDMATAN DAN SEBAGAINYA.
DASAR MENGGALAKKAN LEBIH RAMAI RAKYAT AKTIF DALAM BIDANG KEUSAHAWANAN DAN TIDAK BERGANTUNG SEMATA-MATA KEPADA KERAJAAN.
Agar anak-anak ahli UMNO tidak terus tercicir dalam arus pendidikan Negara yang mana dalam dasar pendidikan kebangsaan ada menyatakannya. Bagi mengenang dan membalas jasa pejuang-pejuang hebat UMNO terdahulu yang tidak pernah mendapat pembelaan. Inilah masanya UMNO membalas dan memberi hak mereka ini kepada anak-anak atau cucu-cucu mereka dengan membina sebuah kolej, Kolej UMNO untuk menunjukkan usaha UMNO untuk memastikan anak-cucu pejuang-pejuang UMNO terdahulu mendapat pembelaan yang sewajarnya dalam isu pendidikan dan ilmu.
Ramai orang membeli jamu         
    Di bawah pokok cuaca redup
Bersungguh-sungguh mencari ilmu
    Ilmu dicari penyuluh hidup 
Ramai orang menggali perigi
    Ambil buluh lalu diikat 
Ilmu dicari tak akan rugi 
        Buat bekalan dunia akhirat
Maka saya mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gombak dengan ini membahaskan usul pendidikan UMNO Bahagian Gombak.
Sekian.


WAJIB BACA!!!